Muhyiddin Seru Asean Wujudkan Pengaliran Maklumat Secara Bebas

Diterbitkan: Khamis, 1 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru negara anggota Asean supaya mewujudkan rangka kerja pelbagai platform, yang melibatkan media arus perdana dan media sosial, untuk memudahkan pengaliran maklumat secara bebas demi manfaat penduduk di rantau ini di samping memupuk semangat saling menyokong dan membantu dalam kalangan mereka.

Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu perlu diberi tumpuan utama agar penduduk Asean yang berjumlah 600 juta orang, tidak berada dalam kegelapan tentang perkembangan penting yang berlaku di rantau ini.

"Saya percaya, berbekalkan maklumat yang tepat, kita akan dapat melaksankan tugas kita dengan lebih bersemangat ke arah mencapai matlamat dan misi yang ditetapkan," katanya ketika merasmikan Persidangan Menteri-menteri Asean Bertanggungjawab Bagi Maklumat (AMRI) Ke-11 di sini, Khamis.

Beliau berkata untuk merealisasikan wawasan Komuniti Asean, negara anggota pertubuhan itu perlu meningkatkan kefahaman serta penghayatan anggotanya terhadap sistem politik, budaya dan sejarah Asean.

Muhyiddin berharap lebih banyak sektor dari negara anggota Asean terlibat dengan pelaksanaan lebih banyak projek dan aktiviti melalui persidangan akademik, bengkel dan seminar.

"Kita juga perlu menggalakkan penghasilan penerbitan secara berkala tentang dinamik perkembangan politik, budaya dan sejarah yang berlaku di negara anggota Asean untuk diedar kepada orang ramai," katanya.

Muhyiddin juga berharap orang ramai lebih menyedari tentang peta laluan ke arah penubuhan Komuniti Asean dan menegaskan bahawa kesedaran boleh memberi kekuatan, tetapi kesedaran tanpa tindakan, tidak membawa sebarang makna.

"Kita perlu menggembleng usaha dan melaksanakan semua program yang perlu dijalankan untuk mencapai hasrat kita. Oleh itu, tema yang digunakan untuk AMRI Ke-11 ini, memang kena dengan masanya dan relevan," kata beliau.

Persidangan tiga hari itu bertemakan "Media: Mengakrabkan Hubungan dan Menjalin Budaya Ke Arah Komuniti Satu Asean". Komuniti Asean mempunyai tiga tonggak iaitu Komuniti Politik-Keselamatan, Komuniti Ekonomi Asean dan Komuniti Sosiobudaya Asean.

Setiap tonggak mempunyai rangka tindakan tersendiri serta Inisiatif bagi Rangka Kerja Strategik ke arah Integrasi Asean (IAI) dan Pelan Kerja IAI Fasa 11(2009-2015), yang membentuk hala tuju Komuniti Asean.

Muhyiddin berkata negara anggota Asean perlu melipatgandakan usaha ke arah mewujudkan identiti Asean, yang mencerminkan keperibadian, norma, nilai dan keyakinan bersama mereka.

"Untuk membolehkan kita berbuat demikian, kita perlu meningkatkan usaha ke arah melahirkan semangat kekitaan, memperkukuhkan perpaduan dalam kepelbagaian dan meningkatkan kefahaman dalam kalangan negara anggota Asean tentang budaya, sejarah, agama dan tamadun mereka," kata beliau.

Pertubuhan 10 anggota dengan kira-kira 600 juta penduduk itu terdiri daripada Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Muhyiddin berkata dalam kalangan negara anggota Asean, Pelan Komunikasi Nasional digubal untuk membentuk identiti dan meningkatkan kesedaran penduduknya tentang pentingnya mereka melaksanakan usaha melalui pelbagai program.

"Kita perlu berusaha dengan lebih giat dalam bidang ini sekiranya kita ingin mencapai tahap kesedaran umum seperti yang diharapkan dalam kalangan 600 juta penduduk kita," katanya.

Muhyiddin berkata beliau gembira kerana Malaysia bergerak secara aktif ke arah mencapai misi AMRI serta terus melaksanakan program dan projek yang boleh memperkuhkan kerjasama dalam sektor media, penerangan dan penyiaran.

Dalam hubungan itu, beliau menyebut tentang program kesedaran Asean, pertukaran berita radio dan televisyen, penghasilan bersama filem dan program televisyen serta pameran.

Muhyiddin berkata oleh kerana Asean memiliki kepelbagaian daripada segi budaya, etnik dan bahasa, maka kepelbagaian ini perlu dihargai dan dihayati serta "perlu dijadikan sebahagian daripada nilai intrinsik dalam pemikiran kita".

Mengenai media sosial, beliau berkata ini, ia menjadi sebahagian penting daripada komuniti global seperti yang dapat dilihat dengan jelas dalam peristiwa terbaru yang berlaku di Timur Tengah.

"Dengan mengambil iktibar daripada perkembangan ini, kita perlu berhubung dengan rakyat kita melalui media sosial. Media sosial menyediakan untuk kita medium yang cukup baik untuk mendampingi dan memahami aspirasi serta kebimbangan yang dirasai penduduk kita," kata Timbalan Perdana Menteri.

Sambil mengaitkan kejayaan Asean selama ini kepada pertumbuhan ekonomi yang dialaminya, Muhyiddin berkata Asean juga mencapai kematangan daripada segi politik.

"Semakin ramai yang menikmati lebih banyak kebebasan berbanding sebelum ini. Saya yakin kemajuan dalam bidang ini akan berterusan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan