Bekas Menteri Dituntut Perjelas Boneka Anwar

Diterbitkan: Khamis, 1 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menuntut penjelasan daripada bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengenai tuduhan beliau kononnya pengundi di kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu mudah dibeli dengan wang.

Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kassim berkata bekas menteri itu telah memberi tanggapan kepada masyarakat di seluruh Malaysia bahawa pengundi-pengundi di kawasan Parlimen itu bersifat mata duitan dan tidak mempunyai maruah.

"Tan Sri Abdul Kadir perlu juga menjelaskan sama ada beliau telah menjadi 'news reader' atau pembaca skrip yang disediakan oleh (ketua pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk menghancurkan Umno dari dalam," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ruslan yang juga bekas Ketua Penerangan PKR itu menuntut Abdul Kadir membuat penjelasan menyeluruh mengenai kenyataan yang dibuatnya pada Januari lepas kerana terdapat desas-desus bahawa beliau tidak berpuas hati dengan kerajaan.

Katanya, ada yang mendakwa bahawa Kadir berasa kecewa dan hampa kerana beliau tidak dilantik sebagai Pengerusi Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang baru.

"Janganlah waktu pegang jawatan dalam parti dan kerajaan semua yang Barisan Nasional buat baik dan betul, bila sudah tidak pegang jawatan semuanya tidak baik dan tidak betul...janganlah amalkan sikap habis madu, sepah dibuang," katanya lagi.

Ruslan mengingatkan Kadir tentang pesanan orang-orang tua "jangan benci keterlaluan dan janganlah pula sayang yang keterlaluan," kerana mungkin pihak yang disayangi Abdul Kadir sekarang ini akan dibenci oleh beliau pada esok lusa.

Abdul Kadir menarik perhatian orang ramai baru-baru ini apabila membuat tuduhan dalam satu forum kononnya pengundi di kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu mudah dibeli dengan wang berjumlah RM100 hingga RM1,000.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan