Zamil Tanya Kenapa Setiausaha Tunda Mesyuarat Tergempar Parti Kita Pada Saat Akhir

Diterbitkan: Rabu, 29 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Kedah, Zamil Ibrahim, yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden baru parti itu pada Rabu mempertikaikan tindakan Setiausaha Masrum Dayat yang menangguhkan mesyuarat tergempar dalam menentukan nasib parti tersebut di Kota Baru, Kelantan, Sabtu lalu.

Menurut Zamil, kehadiran beliau termasuk beberapa anggota parti Kita dari Kedah, Kelantan, Pahang, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan adalah berdasarkan notis mesyuarat yang dikeluarkan oleh Masrun, memaklumkan tentang mesyuarat bertarikh 25 Februari di Kota Baru, Kelantan pada pukul 10 pagi.

"Namun setelah tiba di sana, kami dapati bilik mesyuarat telah dikunci. Oleh itu, kepimpinan Kita negeri Kelantan pilih lokasi lain untuk adakan mesyuarat," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Zamil berkata, beliau dimaklumkan oleh sumber dalaman parti itu bahawa mesyuarat tersebut terpaksa ditunda pada saat akhir selepas anggota parti Kita Kelantan menyuarakan hasrat untuk menolak kepimpinan Datuk Zaid Ibrahim, sehari sebelum mesyuarat diadakan.

"Jadi kita nak tahu, kenapa dia (Masrun) tunda mesyuarat itu. Apa motif mereka?," soalnya.

Jelas Zamil, sebaik saja tiba di Kedah, beliau dimaklumkan oleh setiausaha negeri itu mengenai penerimaan surat mengenai notis pembatalan mesyuarat tersebut bertarikh 26 Februari.

Sehubungan itu, Zamil telah menghantar laporan rasmi mengenai minit mesyuarat pada Sabtu lalu kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) di Putrajaya, Rabu.

Zamil berkata, beliau bertindak demikian untuk memaklumkan kepada pihak ROS mengenai apa yang berlaku dalam parti itu sejak bulan lepas yang menurutnya sehingga membawa kepada pemilihannya untuk menerajui parti pada Mesyuarat Agung Luar Biasa Kita di Kota Baru, Sabtu lalu.

"Kita juga meminta ROS mengesahkan pengurusan baru parti, tidak membatalkan pendaftaran parti Kita dan mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Zamil mendakwa beliau dilantik sebagai pengerusi baru Kita, menggantikan Zaid menerusi pemilihan oleh anggota parti itu dalam mesyuarat tergempar yang diadakan Sabtu lalu.

"Pengerusi Kita dari Kelantan, Abdullah Sani Musa mengumumkan pelantikan saya sebagai presiden baru parti ini. Bukan saya saja-saja lantik diri sendiri. Itu keputusan penyokong dan perwakilan Kita di setiap negeri," katanya.

Beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan pada minggu depan bagi menstruktur semula jentera parti di peringkat pusat dan negeri.

"Dalam mesyuarat tergempar itu, kita juga memutuskan bahawa ibu pejabat baru parti ini akan berpusat di Sungai Petani, Kedah berkuat-kuasa serta merta," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan