Kerajaan Siar Surat Tun M Kepada PM Israel

Diterbitkan: Rabu, 29 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan pada Rabu menyiarkan kepada umum tiga pucuk surat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tiga Perdana Menteri Israel yang jelas menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata ketiga-tiga surat itu ialah bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasarnya berhubung Palestin.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, beliau berkata surat berkenaan ialah;

i) Surat daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Yitzhak Rabin, Perdana Menteri Israel, bertarikh 21 Disember 1993;

ii) Surat daripada Dr. Mahathir Mohamad kepada Benyamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel, bertarikh 14 Mac 1997; dan

iii) Surat daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Ehud Barak, Perdana Menteri Israel, bertarikh 8 Jun 1999.

Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak ketika melawat Melaka pada 24 Februari dan Sekinchan, Selangor pada 26 Februari telah menyatakan kesediaan Kerajaan Malaysia untuk menyiarkan kepada umum beberapa pucuk surat Mahathir kepada Perdana Menteri Israel.

"Saya ingin menyatakan bahawa sebagai satu dasar, Malaysia selama ini telah secara konsisten memberi sokongan sepenuhnya terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai satu penyelesaian yang adil dan komprehensif terhadap konflik Palestin-Israel dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

"Kandungan surat-surat tersebut jelas menunjukkan pendirian yang berprinsip dan ketegasan Malaysia terhadap tindakan haram dan kekejaman Israel yang telah menggugat pelaksanaan proses damai, dan gesaan beliau kepada Israel untuk memenuhi obligasinya dan melaksanakan semua perjanjian yang telah dimeterai di antara Palestin dan Israel," kata Anifah.

Beliau berkata ini termasuk Perjanjian Oslo yang ditandatangani oleh Allahyarham Yasser Arafat bagi pihak Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Shimon Peres dari Israel pada 13 September 1993 berhubung Principles and Mutual Recognition (Prinsip dan Pengiktirafan Bersama) antara Israel dan PLO.

Anifah berkata sebagai Perdana Menteri pada masa itu, Dr Mahathir tidak pernah menyatakan sokongan beliau kepada Israel, mahupun terhadap keselamatan negara tersebut, dan surat-surat beliau, sama ada secara tersurat atau tersirat, tidak sesekali menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

"Kesediaan Malaysia untuk mengadakan hubungan dengan Israel adalah tertakluk kepada pelaksanaan sepenuhnya oleh Israel (terhadap) semua resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan, termasuk permohonan Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara Palestin. Ini merupakan pendirian Malaysia selama ini," katanya.

Anifah berkata surat-surat tersebut mencerminkan peranan dan usaha Dr Mahathir dan Malaysia, sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa dalam membantu mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik tersebut dalam mengembalikan martabat rakyat Palestin yang telah sekian lama ditindas. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan