Kabinet Sokong Batal Konsert Erykah

Diterbitkan: Rabu, 29 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan membatalkan konsert penyanyi wanita Amerika Syarikat, Erykah Badu, yang sepatutnya berlangsungnya malam ini, mendapat sokongan Jemaah Menteri.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata beliau telah membentangkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet hari ini berhubung pembatalan konsert daripada segi keselamatan dan kepentingan untuk menghormati agama, bangsa dan budaya sosial yang wujud di Malaysia.

"Sekiranya konsert ini diadakan juga, menurut Polis Diraja Malaysia, berkemungkinan berlaku pelbagai perkembangan yang boleh mencetuskan keghairahan sosial, dan perkelahian mungkin berlaku disebabkan hal-hal yang berhubung dengan agama seperti di tempat lain di dunia yang mencetuskan keghairahan di luar dugaan atau tidak dapat dikawal.

"Alasan yang teguh dari segi maruah agama, bangsa dan maruah kerajaan sendiri terpaksa diambil kira selain daripada perkara yang berkaitan dengan keselamatan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Semalam, Rais mengumumkan Agensi Pusat Penggambaraan Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) membatalkan konsert Erykah yang didapati telah melanggar garis panduan Puspal dan syarat-syarat kelulusan iaitu menyentuh sensitiviti agama, bangsa serta nilai budaya masyarakat Malaysia.

Katanya perbuatan artis itu yang meletakkan kalimah "Allah" di badan tanpa baju adalah satu penghinaan kepada agama Islam dan merupakan kesalahan yang serius.

Rais berkata mana-mana pihak yang mahu mengadakan konsert yang mungkin boleh menimbulkan kesan terhadap nilai keagamaan perlu mengkaji dengan teliti semua implikasinya terhadap masyarakat serta mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Katanya pihak yang menjadikan Internet sebagai saluran berita atau hiburan masing-masing juga wajar menghormati prinsip keagamaan pelbagai kaum di negara ini.

Menurut beliau, kementerian akan membuat pemantauan berhubung perkara itu.

"Kita perlu menghormati nilai-nilai agama di Malaysia, nilai kebudayaan semua masyarakat dan mengiktiraf nilai-nilai sosial seperti yang diamalkan di bawah piagam Rukun Negara dan undang-undang tanah air," kata Rais.

Beliau menjelaskan gambar yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan sebelum ini bukan gambar yang dikemukakan oleh penganjur, yang tidak mempunyai lambang menghina Islam iaitu perkataan "Allah" di sisi kiri dan kanan.

"Tetapi entah bagaimana akhbar berkenaan mengeluarkan gambar ini dan tentulah dapat kita rumuskan ada beberapa agenda yang terkandung di belakangnya," kata Rais, sambil melahirkan rasa kesal kerana insiden seumpama itu bukan kali pertama berlaku di negara ini.

Beliau berkata kelulusan telah diberikan kepada pihak penganjur pada 4 Januari lalu untuk mematuhi semua syarat konsert dan satu daripadanya ialah menghormati nilai agama, budaya dan nilai amalan sosial kemasyarakatan Malaysia.

"Tidak ada yang bersifat lucah, tidak ada yang memberi gambaran yang menghina mana-mana agama dan ia telah dipersetujui oleh mereka.

"Tetapi pada 27 Februari akhbar berkenaan (The Star) mengeluarkan artikel ini iaitu dua hari sebelum mengadakan konsert. Saya yakin, ia akan dapat diselesaikan, jika penganjur mematuhi syarat-syarat tersebut," katanya.

Mengenai tindakan terhadap pihak penganjur, Rais berkata hal yang berkaitan dengan percetakan membabitkan Kementerian Dalam Negeri manakala bidang kuasa Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan ialah untuk melihat daripada segi Akta Komunikasi dan Multimedia yang tidak berkaitan dengan insiden penyanyi wanita Amerika Syarikat itu.

"Tetapi saya yakin, sekiranya Peguam Negara melihat keseluruhan paparan ini, beberapa peruntukan di bawah Kanun Keseksaan boleh dilihat, tetapi biarlah pihak berkuasa masing-masing membuat kerja rumahnya," kata beliau.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan