Arkib Negara Senarai Koleksi Terbaru Untuk Rujukan Umum

Diterbitkan: Selasa, 28 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Arkib Negara pada Selasa menyenaraikan tiga koleksi perolehan terbaru yang kini dibuka untuk rujukan umum terutama bagi golongan akademik, penyelidik dan penuntut institusi pengajian tinggi.

Tiga koleksi itu ialah senarai kumpulan bahan/rekod yang telah mencapai taraf arkib iaitu berusia 25 tahun, deskripsi kumpulan rekod terperingkat yang turun taraf daripada sulit kepada terbuka dan koleksi surat khabar yang diterbitkan di luar negara tetapi mengandungi berita mengenai Malaysia.

Ketua Pengarah Arkib Negara Daresah Ismail berkata sebanyak 347 kumpulan rekod yang mengandungi 3,878 fail kini bertaraf arkib antaranya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (1986-1992), Kementerian Luar (1773-2001) dan Kementerian Kesihatan (1955-1987).

Bagi deskripsi rekod terperingkat yang diturun taraf daripada sulit kepada terbuka pula, Daresah berkata terdapat enam kategori rekod yang telah dibuka untuk rujukan.

Rekod itu melibatkan Pejabat Residen British Pahang (1888-1995), Pejabat Penasihat British, Kelantan (1917-1939), Pejabat Penasihat British, Terengganu (1935-1936), Jabatan Perdana Menteri (1946-1949) dan Jabatan Pertanian Malaysia (Perikanan) (1946-1966), katanya pada sidang media di sini Selasa.

"Rekod Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (1950-1956) merupakan unit terbanyak dengan jumlah 878 unit. Rekod kumpulan ini terdiri daripada surat menyurat, laporan, minit mesyuarat, memorandum, peta Negeri Sembilan, risalah dan buku kecil serta operasi dan pentadbiran kerajaan negeri itu semasa zaman darurat," katanya.

Bagi koleksi surat khabar yang diterbitkan di luar negara yang mengandungi perihal Malaysia, Daresah berkata antara yang kini boleh dijadikan rujukan ialah artikel The Illustrated London News (1845) bertajuk "Gallant Defeat of Malay Pirates on The Coast of Borneo" yang menyentuh kisah Tanah Melayu.

Selain itu, The Penny Illustrated Paper (1876) yang menceritakan mengenai tragedi pembunuhan J.W.W. Birch yang bertajuk "The Murder of Mr. Birch at Perak" dan Penang Daily News (1942) yang menceritakan kegiatan Jepun di Malaya yang diterbitkan The Penang Rengo Tsushin Sha dan dijual dengan harga tiga sen, katanya.

"Kami harap koleksi-koleksi ini dapat membantu orang ramai mendapatkan maklumat berguna yang tepat dan sahih selain mengetahui fakta sebenar tentang sejarah," katanya.

Pada tahun lepas, koleksi dan surat persendirian arkib berjumlah 9,536 unit, dengan jumlah bahan yang dirujuk sebanyak 53,697, serta menarik 942,278 pengunjung dari dalam dan luar negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan