Penggunaan Pukat Untuk Nelayan Akan Dikuatkuasakan

Diterbitkan: Isnin, 27 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani akan menguatkuasakan penggunaan pukat kepada semua nelayan bagi memastikan mereka hanya menggunakan pukat yang dibenarkan dan tidak lagi menggunakan pukat haram.

Timbalan menterinya Datuk Mohd Johari Baharum berkata, kementerian akan mengadakan operasi bagi mencegah penggunaan pukat-pukat haram seperti pukat rawa, pukat buaya dan pukat naga yang telah mengancam hidupan laut.

"Pukat-pukat itu telah mengancam anak-anak ikan dan juga anak-anak udang dan itu secara tidak langsung menyebabkan hidupan laut akan terjejas," katanya kepada pemberita dalam program turun padang beliau di jeti nelayan Kuala Kuar dekat sini Isnin.

Sebelum ini kementerian itu hanya mempunyai syarat-syarat penggunaan lesen sahaja tetapi tidak mempunyai syarat-syarat penggunaan pukat.

"Jadi kita akan membuat syarat dan spesifikasi pukat yang boleh digunakan oleh nelayan sama ada laut dalam atau nelayan pantai," katanya.

Johari berkata, kementerian akan mengumumkan spesifikasi pukat yang dibolehkan supaya nelayan tidak lagi menggunakan pukat haram secara berleluasa.

"Kita akan hebahkan kepada semua nelayan berkenaan dengan syarat-syarat pukat yang diluluskan dan memberi penerangan serta penjelasan kepada mereka sebelum kita kuatkuasakannya," katanya.

Beliau berkata, kementerian memberi tempoh kepada nelayan untuk menukar penggunaan pukat haram kepada pukat yang diluluskan.

"Kalau kita lihat sekarang ini ikan semakin kurang dan itu disebabkan oleh penggunaan pukat buaya secara berleluasa oleh nelayan. Pukat buaya bukan sahaja menangkap ikan-ikan besar sebaliknya anak-anak ikan turut terjerat dan itu akan menyebabkan ikan semakin berkurang.

"Tidak mustahil suatu hari nanti harga ikan akan naik mendadak, itu yang kita mahu elak," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan