Khalwat: Badrulamin Dakwa Didalangi Umno

Diterbitkan: Isnin, 27 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Badrulamin Bahron mendakwa insiden beliau ditangkap khalwat dengan seorang wanita bersuami pada Sabtu lalu merupakan perangkap terancang yang didalangi Umno.

Malah menurut beliau, suami wanita berkenaan yang dikenali sebagai Faizal turut terlibat dalam usaha menganiaya dan menghancurkan karier politiknya.

"Faizal yang merupakan suami kepada wanita berkenaan dipercayai terlibat dalam rancangan untuk memerangkap saya.

"Malah saya diberitahu oleh bapa wanita itu bahawa seorang pemimpin Umno menghubungi dia bagi mendapatkan nombor telefon bimbit Faizal. Jadi saya percaya semua ini ada pertalian dan hubung kait bagi memerangkap saya," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Pada Ahad Badrulamin tampil menafikan bahawa beliau ditangkap khalwat bersama seorang wanita berstatus isteri orang oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) pada awal pagi Sabtu di sebuah hotel di Balok..

Malah Badrulamin mendakwa kejadian berkenaan merupakan tindakan terancang pihak tertentu untuk memerangkap dan mengaibkan beliau.

Dalam pada itu ditanya kemungkinan peragkap yang dimaksudnya itu didalangi oleh ahli PKR dan penyokong pembangkang sendiri, Badrulamin menolak perkara berkenaan.

"Saya tak fikir rakan-rakan saya terlibat. Saya yakin dalam perjuangan kami bersama, mereka tidak akan khinati saya," katanya.

Pada pukul 3 petang ini Badrulamin akan hadir ke pejabat Jaip ditemani peguamnya, Ahmad Nizam Hamid bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan