Rakyat Disaran Guna Hak Sebagai Pengundi Untuk Pilih Kerajaan

Diterbitkan: Ahad, 26 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Rakyat disaran menggunakan hak mereka sebagai pengguna untuk memilih kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kepenggunaan Perlis Sabry Ahmad berkata seperti pengguna bijak yang memilih barang berkualiti, konsep itu boleh diaplikasikan ketika memilih kerajaan.

"Rakyat perlu bijak memilih parti yang berkualiti dan telah terbukti kecekapannya demi masa depan negara dan rakyat seluruhnya," katanya pada program anjuran Kelab Pengguna kawasan Santan dengan kerjasama Gerakan Pengguna Negeri Perlis.

Beliau berucap mewakili Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu merasmikan Program Kepenggunaan Luar Bandar Malaysia 2012, dekat sini malam Sabtu..

Sabry yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Santan, berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) telah melakukan pelbagai usaha murni untuk kebajikan rakyat.

"Ada rakyat tidak menyedari pelbagai nikmat yang mereka terima termasuk pelbagai jenis subsidi tetapi kerajaan telah lama melaksanakannya," katanya.

Majlis itu diisi dengan ceramah kepenggunaan serta pelancaran buku bertulisan Jawi "Siri Kisah Hidupku" karya Hana Najibah atau nama sebenarnya Ruzai Zahirah Rosli. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan