Khalid Tuduh PM Pengaruhi Penjawat Awam Boikot Pembangkang

Diterbitkan: Ahad, 26 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak cuba mempengaruhi kakitangan awam supaya mendiskriminasikan kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang.

Malah Abdul Khalid turut mempertikaikan kehadiran Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan ke Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-114 baru-baru ini kerana ia bersifat kepartian.

"Tindakan Perdana Menteri seolah-olah mahu membina laluan kepada tindakan yang tidak demokratik kerana tindakan beliau itu umpama memberitahu kepada kakitangan perkhidmatan awam supaya mendiskriminasikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

"Saya juga hairan bagaimana beliau dengan tanpa rasa bersalah mengakui bahawa mesyuarat tersebut adalah Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Barisan Nasional (BN) sedangkan mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Tan Sri Mohd Sidek.

"Selaku penjawat awam, Ketua Setiausaha Negara sepatutnya bertindak secara profesional dan tidak boleh hadir dalam sebuah mesyuarat yang berbentuk kepartian," katanya di sini, Sabtu.

Beliau mengulas penjelasan Najib sebelum ini bahawa tindakan kerajaan Persekutuan tidak menjemput Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri yang ditadbir pembangkang dalam mesyuarat penyelarasan pada Selasa lalu, bukan satu isu kerana ia merupakan amalan biasa sejak sekian lama.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat tersebut hanya terhad kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri ditadbir BN sahaja dan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini Abdul Khalid menyuarakan rasa kesal kerana Menteri Besar dan Ketua Menteri pembangkang tidak dipanggil menghadiri mesyuarat berkenaan dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak profesional.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan