Dr Chua Gesa Kerajaan Rumus Lebih Banyak Polisi Ekonomi Terbuka

Diterbitkan: Ahad, 26 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menggesa kerajaan merumuskan lebih banyak polisi ekonomi terbuka khususnya di sektor perkhidmatan.

Presiden MCA itu berkata parti itu menyokong Program Transformasi Ekonomi (ETP) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memastikan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, tetapi merasakan perlu diadakan lebih banyak lagi polisi ekonomi terbuka.

"Kami mengalu-alukan inisiatif tersebut, tetapi kami masih berpendapat bahawa kerajaan perlu terus memberi lebih banyak kelonggaran seperti di sektor minyak dan gas serta telekomunikasi; perluaskan lagi kemudahan pinjaman untuk pengusaha kecil dan sederhana (SME)," katanya ketika membentangkan laporan kepimpinan parti itu kepada perwakilan pada majlis sambutan ulang tahun ke-63 MCA di sini, Ahad.

Dr Chua berkata kerajaan tidak seharusnya hanya menumpukan untuk menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) semata-mata tetapi juga pelaburan domestik.

"Beberapa insentif yang diberi kepada pelabur asing perlu juga dinikmati oleh pelabur domestik seperti bantuan latihan, insentif cukai, taraf perintis dan kemudahan pinjaman," katanya.

Dr Chua berkata parti itu telah meminta kerajaan melaksanakan sistem gaji minimum dan menubuhkan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan.

"Kami gembira bahawa semua itu sudahpun berada di pelbagai peringkat pelaksanaan. MCA juga mempunyai wakil dalam majlis tersebut."

Selain itu, kata Dr Chua, MCA berjaya dalam bantahannya terhadap pindaan kepada Akta Cukai Pendapatan (untuk memasukkan Seksyen 107D dan pindaan terhadap Seksyen 81).

"Ini kerana, kami dapati bahawa undang-undang berkenaan adalah tidak adil kepada pembayar cukai kerana ianya memberi terlampau banyak kuasa budi bicara kepada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri," katanya.

Beliau berkata MCA juga membantah dan berjaya mendapatkan penangguhan bagi kelulusan Rang Undang-Undang Juru Komputer Profesional 2011, kerana parti itu berpendapat dalam bidang Teknologi Maklumat, ia tidak sepatutnya diasaskan kepada kelulusan akademik semata-mata tetapi juga bergantung pada daya kreatif dan inovatif seseorang.

Di bidang pelajaran, Dr Chua berkata MCA berjaya mendapatkan sokongan kerajaan untuk menaik taraf Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) kepada status kolej universiti. KTAR telah melatih 175,000 pelajar, dengan kampus utamanya di Setapak dan lima kampus cawangan di seluruh negara, dengan pelajarnya seramai 24,000.

Beliau berkata parti itu akan memberi lebih tumpuan terhadap pendidikan vokasional setelah mendapat perakuan daripada Kementerian Pelajaran Taiwan untuk menaja 300 pelajar Malaysia menjalani latihan vokasional setiap tahun.

"Tahun lepas kami menghantar kumpulan pertama 160 pelajar ke Taiwan dan tahun ini, kami ada 357 pelajar mendaftar untuk kursus vokasional yang sedang menunggu kelulusan Kementerian Pelajaran Taiwan," katanya.

Selain itu, Dr Chua mengumumkan MCA juga merancang membuka kolej vokasionalnya sendiri.

Mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), beliau berkata sekolah SJKC yang mendapat sebahagian bantuan daripada kerajaan akan menerima RM100 juta, manakala kerajaan juga bersetuju memperuntukkan RM95 juta untuk pemindahan 13 sekolah, membina tujuh sekolah baru dan pembesaran serta pembinaan semula lapan lagi sekolah.

"Peruntukan ini dimasukkan terus ke dalam akaun lembaga sekolah, yang mana keistimewaan ini tidak diperolehi sekolah lain. Kementerian Pelajaran telah membenarkan SJKC dibina di atas tanah simpanan sekolah kebangsaan, termasuk di Selangor."

Mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), beliau berkata pendirian MCA ialah SJKC dibenarkan mengajar mata pelajaran berkenaan dalam bahasa ibunda, dan pelajar sekolah menengah diberi pilihan bahasa untuk mata pelajaran itu.

"Kami berharap kementerian akan berusaha menjadikan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan SPM dan juga menjadikan Sastera Inggeris sebagai mata pelajaran wajib di sekolah," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan