Polis Beri Kebenaran Kepada Himpunan Hijau 2.0 - Berita Semasa | mStar

Polis Beri Kebenaran Kepada Himpunan Hijau 2.0

Diterbitkan: Jumaat, 24 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Polis pada Jumaat memberi kebenaran kepada penganjur untuk mengadakan Himpunan Hijau 2.0 di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4 pada Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Superitendan Mohd Jasmani Yusof berkata, pihak terbabit boleh mengadakan perhimpunan berkenaan tetapi bersyarat.

"Menerusi perjumpaan dengan penganjur pada 10 pagi tadi, kami telah menjelaskan syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Antaranya perhimpunan itu hanya boleh bercakap mengenai perhimpunan hijau sahaja selain mereka yang hadir tidak boleh membawa senjata dan benda tajam," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Selain itu, beliau berkata tempoh untuk mengadakan perhimpunan itu hanya dibenarkan bermula pada 10 pagi sehingga 12 tengah hari sahaja.

Menerusi perjumpaan itu juga, katanya penganjur bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk di sekitar Kuantan selain mengelak berlaku kesesakan.

Mengenai perubahan tempat, Mohd Jasmani berkata, MPK tidak dapat memberi kebenaran untuk menggunakan padang MPK 1 berikutan pengubahsuaian padang berkenaan untuk persiapan temasya Sukan Malaysia.

"Polis telah mencadangkan tempat penganjuran diubah ke padang MPK 4, Kemunting dan telah dipersetujui oleh MPK serta penganjur," katanya.

Beliau turut menjelaskan kebenaran kepada penganjur itu bukan satu permit yang dikeluarkan polis tetapi kebenaran mengikut Akta Himpunan Aman.

Sementara itu, anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata beliau akan memastikan perhimpunan itu berjalan dengan lancar dan aman dengan mengikut lunas undang-undang.

"Kita percaya semua pihak mahu ia berjalan dengan aman tanpa sebarang provokasi," katanya.

Selasa lepas, 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh Pahang membuat laporan polis membantah perhimpunan itu dengan alasan ia boleh menimbulkan masalah keselamatan dan ketenteraman awam.

Himpunan Hijau 2.0 bertujuan membantah operasi syarikat Lynas Advanced Material Plants yang diberikan lesen beroperasi sementara. - BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan