Bai'ah PAS Hanya Untuk Kepentingan Politik - Jamil Khir

Diterbitkan: Jumaat, 24 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YAN: Sumpah bai'ah di kalangan calon-calon PAS adalah menjurus kepada kepentingan politik parti itu semata-mata sedangkan dalam Islam bai'ah adalah janji untuk mematuhi amanah dan memikul tanggungjawab, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Katanya bai'ah memang ada dalam Islam, yang merupakan pertautan janji daripada kepimpinan untuk mematuhi amanah dan memikul tanggungjawab yang diberikan.

"Saya rasa bai'ah (ini atas dasar) nak jadi calon, atas rasa kebimbangan lompat parti dan sebagainya. Adakah kita mempunyai barisan Yang Berhormat yang tidak kita yakini dia punya perjuangan dan sebagainya.

"Kenapa bai'ah ini skop nak jadi calon sahaja kerana pada zaman Rasullah dan para sahabat kita lihat bai'ah diberi kepada kepimpinan tapi hari ini bai'ah kepada bakal-bakal calon. Ini satu tanda tanya kepada masyarakat umum dan masyarakat ramai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul di Masjid Dulang Kecil di sini, Jumaat.

Selasa lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilapor berkata setiap calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya diwajibkan berbai'ah, satu bentuk pengakuan yang lebih besar dan berat daripada bersumpah.

Abdul Hadi berkata ini bagi menentukan calon tidak menyeleweng daripada dasar Islam, cara dan matlamatnya.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee berkata tujuan sebenar PAS mengenakan sumpah bai'ah kepada anggota parti itu kerana bimbang ada antara mereka yang akan meninggalkan parti atas sebab-sebab tertentu.

Beliau berkata PAS sebenarnya takut kepada bayang-bayang sendiri kerana khuatir wakil rakyatnya akan lompat parti yang mana boleh menghakis kuasa politik mereka.

"Jika benar PAS merupakan parti yang kuat, mengapa paksa calon wakil rakyatnya supaya bersumpah," katanya dalam entri terbaru laman blog Umnocheras.blogspot.com, Jumaat.

Syed Ali, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berkata amalan berbai'ah yang dilakukan PAS akan menjadikan anggota parti itu sebagai 'pak turut' dan ia bertentangan dengan semangat demokrasi.

"Sumpah ikrar taat kepada pemimpin secara membabi buta yang dilaksanakan parti itu bakal menjerut ahlinya sehingga mereka tidak boleh bersuara," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan