Bai'ah PAS Boleh Untuk Tujuan Politik Asalkan Tak Canggah Syarak

Diterbitkan: Jumaat, 24 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sumpah taat setia atau bai'ah yang diamalkan PAS merupakan kaedah yang dibenarkan Islam serta dibolehkan digunapakai bagi tujuan politik.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tujuan bai'ah diperkenalkan kepada calon yang mewakili parti itu dalam pilihan raya bertujuan membendung gejala khianat di kalangan pemimpin yang bakal dipilih.

Malah tegas beliau, amalan bai'ah juga penting terutama sebagai benteng persediaan ketika berhadapan dengan musuh politik tradisi parti itu seperti Umno.

"PAS menggunakan kaedah ba’iah kepada calon yang mewakili parti agar tidak khianat kepada amanah yang diberi oleh rakyat, lebih-lebih lagi berhadapan dengan Umno.

"Mereka yang telah memenangi kerusi sama ada DUN (Dewan Undangan Negeri) atau Parlimen mesti sedar ia menang di atas pilihan rakyat.

"Kerana itu PAS membuat ba’iah kepada semua calon, sekiranya mereka menang atas tiket parti mereka dilarang lompat parti, keluar parti bahkan sekiranya dipecat dari parti mereka mesti mengosongkan kerusi yang dimenangi," katanya di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kecaman banyak pihak mengenai bai'ah yang menjadi amalan PAS yang disifatkan bermotif politik serta bertentangan dengan syarak.

Malah Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dilaporkan berkata, konsep bai'ah tidak boleh digunakan untuk memastikan kesetiaan kepada pemimpin parti atau dasar perjuangan politik.

Jelas Dr Harussani, bai'ah yang diperkenalkan PAS tidak boleh diamalkan lebih-lebih lagi dalam keadaan parti berkenaan secara terang-terangan bersekongkol dengan parti-parti yang memperjuangkan ideologi sekularisme, liberalisme dan pluralisme.

Bagaimanapun tegas Tuan Ibrahim, bai'ah PAS menepati hukum Islam kerana menerusi kandungannya dinyatakan dengan jelas bahawa individu yang berbai'ah tidak diwajibkan patuh kepada perkara yang bertentangan dengan syarak.

"Tidak timbul soal perkara yang bertentangan dengan hukum syarak kerana dalam ba’iah itu, jelas dinyatakan ia tidak diwajibkan taat kepada perkara bertentangan dengan syarak," katanya.

Malah Tuan Ibrahim juga mengingatkan semua pihak agar tidak memperlekehkan amalan bai'ah PAS kerana kandungannya ditentukan kumpulan ulama parti itu menerusi Majlis Syura Ulama.

"Bai'ah dalam PAS disediakan oleh Majlis Syura yang terdiri daripada para alim ulamak, bukan oleh DHPP (Dewan Himpunan PAS Pusat) atau dikutip di tepi jalan.

"Banyak hadis menggunakan kaedah ini, dan PAS kita menggunakan kaedah yang sama bagi memelihara perjuangan Islam yang menjadi asas perjuangan PAS," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan