Dana Khas RM50 Juta Untuk Usahawan Kecil

Diterbitkan: Rabu, 22 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Kerajaan menyediakan dana khas berjumlah RM50 juta bagi melaksanakan program usahawan kecil (UK) dinamik yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 usahawan dan penjaja kecil di seluruh negara.

Pengerusi Mara Datuk Seri Idris Jusoh berkata penyaluran dana khas tersebut diyakini dapat melahirkan usahawan dan penjaja kecil berwibawa dan berjaya.

"UK Dinamik merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan penjaja dan peniaga kecil," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian seminar UK Dinamik Mara Terengganu, Rabu.

Turut hadir Pengarah Mara negeri Abdullah Mohamad.

Idris berkata program UK Dinamik juga adalah salah satu mekanisme Mara untuk mencipta kekayaan Bumiputera dan golongan usahawan kecil perlu mempunyai iltizam untuk memajukan perniagaan mereka sendiri.

"Kita menyedari dan banyak menerima sungutan penjaja kecil yang menghadapi kekangan akses kepada modal, kesukaran mendapat lokasi perniagaan dan sebagainya," katanya.

Namun melalui program UK Dinamik, Mara melihat wujudnya kerjasama daripada pelbagai pihak untuk memajukan usahawan seperti badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penjaja dan Mara.

Idris berkata apa yang penting adalah meningkatkan lagi persefahaman serta berusaha untuk mengembangkan perniagaan supaya dapat membawa usahawan ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau berkata UK Dinamik mengeluarkan pinjaman tidak lebih RM10,000 dan usahawan perlu membayar balik pinjaman mereka dalam tempoh dua tahun.

Katanya pada tahun lepas, Mara telah meluluskan sebanyak 5,435 permohonan pembiayaan perniagaan dengan nilai sebanyak RM440 juta.

Ia melibatkan skim peningkatan pembiayaan perniagaan sebanyak 1,219 permohonan, skim pembiayaan kontrak eskpres (4,097) dan skim jaminan usahawan Mara (47).

Abdullah pula berkata sejumlah RM1.05 juta diperuntukan kepada Mara Terengganu untuk pembiayaan UK Dinamik kepada 135 orang usahawan yang terdiri daripada penjaja kecil.

Beliau berkata tahun lepas Mara Terengganu telah meluluskan pinjaman perniagaan kepada 362 usahawan yang melibatkan RM30.9 juta. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan