Syabas Aktifkan ERP Berikutan Kejadian Paip Pecah Di Gombak

Diterbitkan: Selasa, 21 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau di Wilayah Gombak pada Isnin berikutan kejadian paip pecah di dua lokasi berlainan melibatkan kira-kira 18,000 akaun pengguna. Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat, Syabas Abdul Halem Mat Som berkata, kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan yang dijangka selesai lewat petang ini dan bekalan air dijangka pulih secara berperingkat ke semua kawasan terlibat.

"Dalam kejadian pertama, paip berukuran 24 inci dari jenis Cast Iron didapati pecah di Jalan Genting Klang berhampiran Hospital Columbia. Pihak Syabas menerima aduan pada 4 pagi semalam dan telah melantik kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembaikan.

"Pada 11.50 pagi semalam pula, paip berukuran 24 inci dari jenis Asbestos Cement yang menerima bekalan air dari Kolam Air AU3 Lama, telah dikesan pecah di Taman Wangsa Melawati di lokasi berhadapan Masjid Wangsa Melawati," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Katanya, antara lokasi yang terlibat ialah seluruh kawasan Air Panas, Setapak, Jalan Genting Kelang, Batu 3 hingga Batu 5, Gombak, Langgak Bukit, Kampung Padang Balang, Wangsa Melawati dan Taman Permata. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan