Sikap Tamak Haloba Pemain Punca Gejala Rasuah Bola Sepak - Kay Kim

Diterbitkan: Isnin, 20 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sikap tamak haloba sesetengah pemain untuk memperoleh pendapatan lumayan dalam masa singkat menjadi punca mengapa gejala rasuah boleh sepak masih berlaku dalam liga tempatan, demikian luahan pengkritik sukan tanah air Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.

Beliau berkata gejala sedemikian pernah berlaku pada era 1970-an namun kelemahan tindakan undang-undang daripada pihak berkuasa menjadi punca ia tidak begitu mendapat perhatian serius ketika itu.

"Sebab itu rasuah tidak nampak dengan jelas pada masa itu tetapi (sekarang) saya mendapati para penonton mula jemu dengan pertandingan (bola sepak) antara negeri.

"Jadi bilangan penonton yang hadir semakin merosot disebabkan ketidaksungguhan pemain di atas padang untuk mempamerkan permainan yang berkualiti," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Kay Kim yang juga seorang pensyarah di salah sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berkata selain sikap tamak haloba, kegagalan pihak berkuasa untuk memantau kegiatan bookie dalam sukan tersebut menjadi penyebab mengapa bola sepak negara masih dibelenggu dengan gejala tidak sihat itu.

"Misalnya kalau kita jumpa seorang pemain bola sepak dan dia diberikan arahan (oleh bookie) untuk memberi kemenangan kepada pasukan lawan dan sebagai habuannya dia ditawarkan dengan sejumlah yang besar, saya rasa dia tidak akan menolak.

"Selagi bookie itu masih aktif dan gagal ditangani dengan berkesan oleh pihak berkuasa, saya rasa (gejala rasuah bola sepak) susah nak dikawal," katanya.

Beliau bagaimanapun memuji inisiatif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan menubuhkan pasukan petugas khas menangani rasuah baru baru ini yang diletakkan di bawah Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat.

Melalui jawatankuasa tersebut, FAM akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani rasuah dengan menggunakan pendekatan 3E (Pendidikan, Pembabitan dan Penguatkuasaan.

"Dulu SPRM (dan polis) tidak mengambil bahagian dalam hal ini kerana tidak sedar perkara itu besar tetapi bila ia sudah jelas tidak boleh dikawal, sukan di negara ini akan merosot terus," kata Kay Kim.

Gejala rasuah kembali menghantui bola sepak negara apabila beberapa pemain Perlis disoal siasat oleh SPRM kerana dikatakan terlibat dalam skandal mengatur perlawanan sehingga menyebabkan kekalahan pasukan tersebut kepada MP Muar, 2-7, Januari lepas.

FAM sebagai badan induk bola sepak negara yang mahu menyekat perkara tersebut daripada terus menular dalam liga tempatan mengambil tindakan tegas dengan mengumumkan penggantungan seumur hidup ke atas bekas jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan Yusarman Yusof.

Selain Yusarman, 11 bekas pemain skuad tersebut turut digantung antara setahun sehingga lima tahun selain tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak berkuatkuasa 11 November lepas.

Pegawai dan pemain-pemain skuad Piala Presiden SDM Navy 2011, skuad Piala Presiden MP Muar FC 2011 serta skuad Piala Presiden T-Team 2010 turut menerima padah apabila digantung sementara sehingga menunggu mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam masa terdekat.

Terbaru, Aseh mendedahkan tiga pasukan Liga Super dikatakan sedang disiasat oleh FAM kerana dikatakan terlibat dalam mengatur perlawanan musim ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan