Operasi 1Malaysia Akan Diperluaskan Ke 80 Kawasan Di Seluruh Negara - JPAM

Diterbitkan: Isnin, 20 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Operasi 1Malaysia yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) tahun lepas akan diperluaskan lagi ke 80 kawasan Parlimen bagi memantapkan aktiviti membanteras jenayah di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Datuk Sulaiman Keling berkata setakat ini, operasi yang dilaksanakan pada Oktober lepas itu telah dimulakan di Sungai Pelek, Sepang dan sembilan lagi kawasan termasuk Johor Baharu, Semberong, Kluang, Pagoh, Pekan, Kampar, Masjid Tanah, Taman Tun Dr Ismail dan Semenyih.

"Kita akan bekerjasama dengan kesemua agensi kementerian termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia dan Pencetakan Nasional Malaysia Berhad dalam menangani kesemua bentuk jenayah terutamanya jenayah jalanan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Pendaftaran Anggota Padiberas Nasional Berhad (Bernas)-JPAM peringkat ibu pejabat di sini, Isnin.

Beliau berkata kadar jenayah juga telah berkurangan secara mendadak setelah operasi ini dimulakan di mana rondaan akan sentiasa diadakan setiap hari bermula pada 8 malam.

"Kita hendak memperluaskan rondaan ini bersama-sama di setiap kawasan dan bertemu dengan penduduk-penduduk tempatan...dengan kehadiran anggota-anggota ini, kami percayai kadar jenayah dapat dikurangkan lagi, malah orang akan lebih mempercayai kita," katanya.

Katanya operasi ini adalah selaras dengan komitmen kementerian berkaitan peranannya kepada rakyat iaitu mengurangkan kadar jenayah dan menggerakkan gelombang kesukarelaan.

"Anggota sukarela Pertahanan Awam Bernas juga dipelawa bagi bersama-sama menyumbangkan tenaga demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terjamin," katanya.

Seramai 424 orang pegawai dan kakitangan Bernas telah mendaftar sebagai anggota sukarela JPAM mewakili zon utara, zon timur dan zon tengah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan