Kerajaan Peruntuk Subsidi RM6.7 Juta Untuk Ujian Mamogram Tahun Ini

Diterbitkan: Isnin, 20 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CAMERON HIGHLANDS: Kerajaan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memperuntukkan subsidi RM6.7 juta bagi ujian mamogram kepada 65,000 wanita berpendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah di seluruh negara tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata golongan berkenaan berkelayakan melakukan ujian saringan mamogram percuma bagi mengesan kanser payu dara.

"Program ini adalah salah satu daripada projek yang dijalankan di bawah Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu.

"Melalui program ini LPPKN menyediakan klinik bergerak untuk pergi ke kawasan-kawasan tertentu yang dipilih bagi tujuan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program KAR1SMA Keluarga di Pos Manson, Ringlet dekat sini, hari ini.

Shahrizat berkata melalui program ini, petugas dan kakitangan klinik bergerak akan membuat pemeriksaan serta memberi pendedahan kepada golongan sasar mengenai penyakit kanser payu dara.

Beliau berkata ia kerana pengesanan awal boleh menyelamatkan pesakit kanser payu dara.

"Sasaran kita di dalam program ini adalah memastikan golongan wanita terutama ibu-ibu sentiasa sihat kerana ibu merupakan orang terpenting dalam keluarga terutama dalam soal menjaga dan membesarkan anak-anak," katanya.

Beliau berkata 20,000 wanita Orang Asli di seluruh negara layak menerima subsidi ujian saringan percuma mamogram tahun ini.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan