Hindraf Rancang Adakan Himpunan Temui PM

Diterbitkan: Ahad, 19 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Penyokong Hindraf merancang untuk mengadakan perhimpunan secara berkala di hadapan bangunan Perdana Menteri di Putrajaya sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia untuk bertemu dan memenuhi 18 tuntutannya.

Pemimpin gerakan itu, P. Uthayakumar berkata mereka mahukan 'Hak' dan bukannya 'Kepercayaan' seperti mana yang dijanjikan oleh Najib bagi memastikan masyarakat India turut menikmati hasil pembangunan negara seperti kaum lain.

Uthayakumar berkata antara 18 tuntutan tersebut adalah pemberian status bumiputera kepada semua rakyat Malaysia; pemberian peluang pekerjaan, kontrak, projek, permit, lesen dan pinjaman perniagaan dilakukan tanpa mengira kaum; dan kemasukan tanpa mengira kaum ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan institusi.

Selain itu, semua 523 sekolah Tamil diberikan tanah seluas empat hektar setiap satu dengan status bantuan penuh kerajaan; tiada unsur perkauman berdsarkan 'pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum' dasar negara dan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500.

"Semua tuntutan ini sebenarnya telah diserahkan sejak lima tahun yang lalu dan kami mahu kerajaan segera menyelesaikan masalah yang dihadapi kaum India," katanya kepada pemberita pada perhimpunan yang diadakan di sini hari ini.

Katanya setakat ini kerajaan hanya menunaikan satu peratus daripada 18 tuntutan gerakan itu.

Kira-kira 40 penyokong Hindraf berkumpul di kawasan tumpuan pelancong di Dataran Putra sebelum berarak ke Pejabat Perdana Menteri dengan melaungkan slogan UMNO rasis dan jangan menganiaya kaum India.

Keadaan menjadi sedikit kecoh apabila wakil Hindraf menolak jemputan untuk menyerahkan memorandum di dalam bangunan Pejabat Perdana Menteri tetapi mahu pegawai berkenaan keluar untuk menerima memorandum tersebut.

Perhimpunan yang bermula 10.30 pagi itu bersurai kira-kira 90 minit kemudian selepas seorang pegawai Pejabat Perdana Menteri keluar untuk menerima memorandum yang dihantar oleh Hindraf.

Seorang lagi pemimpin Hindraf, M. Manoharan berkata satu lagi perhimpunan akan diadakan di Putrajaya pada 25 Mac depan sekiranya Perdana Menteri enggan bertemu mereka. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan