Penyertaan Kaum India Dan Cina Dalam Skim Tukar Masih Rendah

Diterbitkan: Sabtu, 18 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Kerajaan menggalakkan peniaga kedai runcit kaum Cina dan India untuk menyertai skim Projek Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) kerana penyertaan daripada golongan itu masih rendah berbanding Bumiputera.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan rekod, penyertaan kedua-dua kaum itu adalah sebanyak 20.5 peratus iaitu 13 peratus daripadanya peniaga kaum India manakala bakinya adalah kaum Cina.

"Perkara ini mungkin disebabkan kurangnya maklumat mengenai perkara ini dan pada masa yang sama ada di kalangan mereka takut kehilangan perniagaan selepas menyertai skim ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program TUKAR di sini, Sabtu.

Program TUKAR adalah langkah kerajaan yang diambil bagi memodenkan kedai runcit tradisional bagi meningkatkan tahap daya saing dalam persekitaran perniagaan runcit. Ia juga mampu mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan pelanggan serta dapat menyelaraskan proses perniagaan secara menyeluruh.

Selain itu, TUKAR juga dapat mempromosikan rantaian penawaran dengan kos yang efektif dan efisien.

Ismail berkata, kajian yang dibuat menunjukkan jumlah jualan harian semua kedai-kedai ini meningkat di antara 70 hingga 200 peratus selepas menyertai skim ini.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, kerajaan mentransformasikan 519 premis di bawah skim tersebut walaupun pada mulanya hanya menyasarkan 500 buah premis.

Katanya, kerajaan menyasarkan 5,000 premis menyertai skim itu menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, skim ini hanya layak dipohon peniaga kedai runcit sedia ada dan permohonan hendaklah dibuat melalui mana-mana pejabat KPDNKK.

"Peniaga yang layak akan diberi pinjaman sebanyak RM60,000 daripada Bank Rakyat dan pinjaman itu dikenakan caj sebanyak tiga peratus. Tempoh pembayaran balik adalah selama 15 tahun," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan