KPI Perpaduan Petunjuk Penting Persiapan Jentera BN - Berita Semasa | mStar

KPI Perpaduan Petunjuk Penting Persiapan Jentera BN

Diterbitkan: Sabtu, 18 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Pelaksanaan Indeks Prestasi Utama (KPI) berkaitan perpaduan di semua badan perhubungan Barisan Nasional (BN) di seluruh negara mampu memberi petunjuk penting kepada persiapan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, kata seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Sabtu.

Datuk Abdul Rahman Palil yang merupakan ADUN kawasan Sementa berkata, KPI perpaduan dapat mengukur kesepakatan dan kerjasama yang dijalin antara pemimpin BN dan rakyat.

"KPI yang dicadangkan merupakan satu usaha yang baik kerana dapat melihat sejauh mana persediaan dan kemuafakatan parti dalam menghadapi PRU nanti serta melihat perkara yang boleh diperbaiki oleh semua pihak," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Fasa ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di sini, Sabtu.

Beliau berkata, KPI itu juga dapat memberikan gambaran yang jelas bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membuat perancangan terbaik di peringkat bahagian dan negeri menjelang PRU.

Khamis lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Najib telah meletakkan KPI dalam persiapan bagi menghadapi PRU akan datang dan semua pengerusi badan perhubungan BN dipertanggungjawabkan untuk mencapai sasaran KPI yang ditetapkan.

Terdahulu, Abdul Rahman menyaksikan pemberian BR1M kepada kira-kira 3,200 penerima di DUN Sementa di sini. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan