Exco Didakwa Terbabit Isu 'Potong' Peruntukan NGO Disaran Bercuti

Diterbitkan: Sabtu, 18 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Exco kerajaan negeri, Tan Chow Kang yang didakwa terbabit dengan isu pemotongan sebahagian daripada peruntukan kepada badan bukan kerajaan (NGO), disaran supaya bercuti untuk memudahkan siasatan terhadap kes itu dijalankan. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan negeri itu seharusnya perlu turut bertanggungjawab dan tidak boleh melepaskan diri begitu sahaja.

"Kalau Exco itu minta pembantu peribadinya bercuti, Exco itu juga harus bertanggungjawab dengan melakukan perkara sama supaya senang pihak berkuasa nak buat siasatan.

"Nampak tidak ada ketelusan. Perkara ini belum pernah berlaku dan ia membabitkan duit rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Maulidur Rasul di SMK Simpang Kuala dekat sini Jumaat.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga diharap dapat menjalankan siasatan dengan segera bagi mengetahui sama ada perkara itu benar-benar berlaku seperti yang didakwa.

Ahmad Bashah turut menyeru kepada mana-mana NGO yang mengalami kes yang sama di negeri ini supaya tampil membuat laporan bagi memastikan perkara itu dapat dibendung pada masa akan datang.

"Kenapa mereka perlu ambil balik wang peruntukan itu? Bukan setakat 30 peratus, satu peratus pun tak layak ambil sebab itu hak penerima," katanya.

Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew sebelum ini mendakwa lapan NGO di negeri ini memaklumkan kepada pihaknya mengenai pemulangan balik kepada kerajaan negeri atau rebat antara 25 dan 30 peratus daripada jumlah bantuan yang disalur kerajaan negeri.

Akhbar berbahasa Cina melaporkan Tan mengakui perbuatan berkenaan berlaku dan susulan pendedahan itu juga, difahamkan pembantu peribadi Tan digantung tugas atas arahan Jawatankuasa Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga siasatan terhadapnya berhubung dakwaan itu selesai. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan