2,183 Pemilih P. Pinang Digesa Tukar Mykad

Diterbitkan: Jumaat, 17 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang hari ini menggesa 2,183 pemilih yang status mereka diragui supaya menukar kad pengenalan kepada MyKad secepat mungkin jika mereka mahu mengekalkan status sebagai pemilih berdaftar.

Pengarahnya Morat Pora berkata kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan nama mereka digugur sebagai daftar pemilih untuk Pilihan Raya Umum ke-13 ini.

"Apabila kita rujuk dengan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) kad pengenalan mereka tidak aktif (masih menggunakan kad pengenalan lama). Jadi bila kad pengenalan tidak aktif, kita (SPR) tidak boleh kekalkan mereka dalam daftar pemilih.

"Kita sudah pamerkan senarai nama ini sehingga 31 Dis 2011. Kemudian, atas permintaan PSC (Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Penambahbaikan Pilihan Raya) kita lanjutkan sehingga 31 Januari 2012.

Tetapi, sehingga semalam kita cuma terima sembilan maklumbalas dari 2,183 pemilih ini," katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata kebanyakan golongan yang terlibat dalam status pemilih yang diragui itu adalah warga emas kerana sembilan maklum balas yang diterima adalah warga emas yang memiliki kad pengenalan yang mempunyai lambang bunga raya.

Justeru itu, Morat meminta waris atau sesiapa sahaja yang terlibat dengan senarai nama pemilih yang meragukan itu agar segera ke JPN bagi mengaktifkan semula kad pengenalan.

"Kita minta supaya mereka pergi ke JPN. Apabila mereka sudah dapat kad pengenalan yang baru daripada JPN, tolong maklumkan balik kepada SPR. Mereka tidak perlu lagi mendaftar semula sebagai pemilih," katanya.

Beliau berkata jumlah pemilih yang diragui itu adalah sebahagian daripada 42,025 nama yang akan digugurkan sebagai pemilih berdaftar setelah rekod mereka didapati meragukan.

Morat berkata bagi tempoh suku tahun ketiga tahun lepas, jumlah pemilih berdaftar di negeri itu ialah 803,304 orang.

Katanya, jumlah rakyat yang berumur 21 tahun ke atas bagi tempoh itu ialah 957,350 orang dan ini bermakna 154,046 orang atau 18.2 peratus daripada warga yang layak mengundi masih tidak mendaftar sebagai pemilih. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan