Selangor Akan Lancar Projek Infrastruktur RM15 Bilion

Diterbitkan: Khamis, 16 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selangor dijangka melancarkan projek pembangunan infrastruktur bernilai kira-kira RM15 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang, kata anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Dr Xavier Jayakumar.

Daripada jumlah itu, katanya kira-kira RM7.4 bilion adalah bagi pembinaan tiga hingga empat lebuhraya yang akan dibina di negeri itu.

"Bakinya adalah dari projek My Rapid Transit (MRT) dan sambungan LRT."

"Selain itu, kami juga sedang mengkaji empat projek besar, yang melibatkan kawasan 6,070.29 hektar (1,500 ekar) setiap satu, yang akan dibangunkan pada tahun ini," katanya pada Forum IKS/EKS India Global dan Sidang Kemuncak Jaringan Malaysia 2012 di sini, Khamis.

Bagi tempoh 11 bulan pertama tahun lepas, katanya Selangor berupaya mendapatkan kombinasi pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) RM6.8 bilion bagi pelaksanaan 218 projek perkilangan.

Xavier berkata projek itu telah mewujudkan kira-kira 15,000 pekerjaan di Selangor.

Tahun ini, katanya Selangor menjangka DDI akan meningkatkan jumlah projek pembangunan tempatan.

"Untuk meningkatkan FDI, strateginya ialah untuk meminta syarikat asing melabur di dalam sektor khusus seperti teknologi hijau, solar, teknologi maklumat dan sektor penyelidikan dan pembangunan," katanya.

Mengulas mengenai pertumbuhan 5.2 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lepas, Xavier berkata kerajaan negeri Selangor gembira sasaran itu telah tercapai.

"Kita berharap menyaksikan pertumbuhan yang sama pada masa depan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan