Rang Pindaan Auku 1974 Dibentangkan Di Parlimen Mac Ini - Berita Semasa | mStar

Rang Pindaan Auku 1974 Dibentangkan Di Parlimen Mac Ini

Diterbitkan: Khamis, 16 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Proses pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1974 hampir selesai dan rang undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen Mac ini, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata maklumat terperinci berhubung perkara itu akan diumumkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Pindaan Seksyen 15 Auku insyaAllah akan dibawa ke persidangan Dewan Rakyat pada bulan Mac. Pada dasarnya ia memenuhi permintaan majoriti pihak berkepentingan yang inginkan supaya pindaan ini dibuat.

"Sekarang kita harus memikirkan apakah yang akan berlaku selepas pindaan dilaksanakan," katanya kepada pemberita pada kemuncak pertandingan Debat Diraja 2012 kategori Bahasa Melayu (Utama) di sini, malam Rabu.

Saifuddin berkata pindaan yang dibuat diharap dapat mengembalikan zaman kegemilangan gerakan mahasiswa di tahun 60an dan 70an di mana mahasiswa dilihat sebagai pencetus idea untuk pembangunan negara.

"Saya fikir inilah cabaran yang harus dipikul oleh golongan mahasiswa hari ini, khususnya pimpinan mahasiswa mencetuskan idea-idea baru untuk masyarakat sama ada di dalam atau pun di luar kampus," katanya.

Saifuddin berkata pindaan Auku ini bukan sekadar untuk melihat mahasiswa berpolitik semata-mata, tetapi bagaimana memberi ruang dan peluang kepada mereka menyuarakan idea sehingga dapat mempengaruhi pemikiran dan perbincangan masyarakat.

Katanya, masyarakat terutamanya ahli-ahli politik seharusnya memberi peluang kepada mahasiswa berfikir dan menyuarakan pandangan dalam pembangunan negara termasuk isu-isu politik dan ekonomi.

Saifuddin berkata dalam konteks ini debat dilihat bukan hanya untuk pertandingan tetapi menjadi antara medium terbaik bagi para mahasiswa mengasah pemikiran yang kritis dan kreatif.

Dalam debat itu Universiti Malaya dinobatkan sebagai johan utama manakala Universiti Sains Malaysia (USM), selaku tuan rumah naib johan, manakala kategori Bahasa Inggeris pula dimenangi Universiti Teknologi Mara sebagai johan utama dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), naib johan.

Dalam kategori Bahasa Arab pula diungguli UIAM (Kumpulan A) yang muncul juara dan Universiti Sains Islam Malaysia sebagai naib juara dalam kumpulan itu.

Johan setiap kategori membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan, manakala naib johan memenangi piala iringan, wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan.

Seramai 500 pendebat daripada 21 institusi pengajian tinggi berkampung di USM sempena pertandingan itu, anjuran Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) yang bermula Sabtu lepas. - BERNAMA

   

iklan

Video

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Khamis, 5 Julai 2018 7:02 PM

Ngeri! Nampak kaki dalam beg baju

Kolumnis

iklan

Iklan