JPJ Akan Wajibkan Syarikat Kereta Terpakai Guna Sistem E-Tukar Hak Milik

Diterbitkan: Khamis, 16 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mewajibkan semua syarikat kereta terpakai menggunapakai sistem E-Tukar Hak Milik Sementara sebagai penyelesaian sepenuhnya proses pindah hak milik kenderaan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata sistem yang diperkenalkan sejak Disember lepas merupakan inisiatif Persatuan Penjual Kereta Terpakai bagi melindungi kepentingan pengguna.

"Kami sedang memantau bagaimana sistem ini beroperasi. Sistem itu juga telah sedia dan (JPJ) berkemungkinan akan mewajibkan syarikat kereta terpakai menggunakan sistem berkenaan bagi semua urusan proses tukar milik kenderaan," katanya kepada pemberita di sini selepas merasmikan bangunan baru JPJ cawangan Batu Uban, Khamis.

Beliau berkata ketika ini JPJ hanya meminta semua syarikat kereta terpakai menggunakan sistem itu bagi mengelak berulangnya kes pemilik kenderaan berhadapan pelbagai masalah walaupun selepas kenderaan sudah dijual atau ditukar beli dengan syarikat kereta terpakai.

Tahun lepas, kabinet memutuskan untuk melaksanakan Sistem e-Tukar Milik Sementara selepas JPJ menerima banyak aduan daripada orang ramai yang menghadapi pelbagai masalah walaupun selepas kenderaan sudah dijual atau ditukar beli dengan syarikat kereta terpakai.

Menerusi sistem itu, transaksi pertukaran hak milik kenderaan perlu didaftarkan dengan JPJ dan dikenakan bayaran RM10 bagi membolehkan pemindahan nama kepada pemilik sementara.

Syarikat kenderaan terpakai akan menjadi pemilik sementara kenderaan itu bermula dari tarikh borang itu ditandatangani sehingga kenderaan berkenaan dijual kepada pelanggan baru.

Sementara itu, bangunan dua tingkat pejabat JPJ cawangan Batu Uban terletak di kawasan seluas 0.8 hektar dengan kos pembinaan sebanyak RM9.376 juta dan mengambil masa selama 15 bulan untuk disiapkan.

Cawangan baru itu mula beroperasi pada 30 Jan lepas dengan waktu urusniaga bermula pukul 7.45 pagi hingga 5 petang setiap hari bekerja.

Sebanyak 25 kaunter disediakan bagi kemudahan pelanggan menyelesaikan urusan masing-masing. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan