Isu Israel: Hasan Ali Cabar Anwar Nyatakan Pendirian Rasmi Pembangkang

Diterbitkan: Khamis, 16 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan dengan jelas pendirian pakatan pembangkang mengenai hubungan dua hala dengan Israel yang dilihat tidak konsisten.

Tegas beliau, Ketua Pembangkang itu perlu menjelaskan pendirian sebenar pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP agar tidak mengelirukan rakyat.

"Mengenai isu Isreal, kita harap Anwar dapat menerangkan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan sekali-kali menjalin hubungan dengan Israel...itu sangat penting.

"Ataupun beliau perlu buat kenyataan dengan mengatakan bahawa Pakatan Rakyat mesti memulakan usaha-usaha untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.

"Yang itu saya fikir beliau dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat perlu jelaskan dengan sebaik mungkin kerana rakyat tertanya-tanya," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Anwar sebelum ini yang menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti yang dilaporkan dalam satu temuramah dengan The Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.

Dalam temubual itu, Anwar dilaporkan sebagai berkata, beliau menyokong segala usaha untuk menjamin keselamatan Israel sekali gus mengundang kecaman daripada pelbagai pihak di dalam negara.

Dalam pada itu beliau turut mencabar kumpulan yang digelar sebagai 'parasit' dalam PAS yang disifatkan sering bersekongkol dengan PKR dan DAP agar menyataan pendirian masing-masing mengenai kenyataan Anwar itu.

Beliau hairan kerana pemimpin parasit berkenaan masih berdiam diri walaupun pemimpin utama parti itu iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah menyataan pendirian masing-masing menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Israel.

"Datuk Seri Hadi kata sokong Israel adalah haram dan Datuk Nik Aziz minta Anwar tarik balik kenyataan. Ini satu perkara yang jarang-jarang timbul dalam PAS untuk mempersoalkan ketua pembangkang...untuk persoalkan arah aliran pemikiran ketua pembangkang.

"Tapi akhir-akhir ini mereka berdua telah keluarkan kenytaan sebegitu. Tapi yang saya tunggu-tunggu sekarang ialah kenyataan daripada golongan profesional yang kita namakan parasit-parasit dalam PAS.

"Sehingga hari ini tidak ada seorang pun yang keluarkan apa-apa kenyataan terhadap kenyataan Anwar," katanya lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan