Timbang Debat Dalam Bahasa Perancis, Mandarin Antara IPT:Saifuddin - Berita Semasa | mStar

Timbang Debat Dalam Bahasa Perancis, Mandarin Antara IPT:Saifuddin

Diterbitkan: Rabu, 15 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NIBONG TEBAL: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedia mempertimbangkan permintaan untuk mengadakan pertandingan debat dalam bahasa Perancis dan Mandarin antara pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Namun menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, jumlah peserta untuk berbahas di dalam dua bahasa itu masih belum mencukupi.

"Memang telah ada permintaan terutamanya dalam bahasa Mandarin, tetapi jumlah pesertanya belum cukup lagi. Oleh itu pihak kementerian sedang mempertimbangkan permintaan itu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Pertandingan Debat Diraja 2012 edisi keenam antara IPT di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, Rabu.

Pertandingan diadakan dalam bahasa Arab, Inggeris dan Melayu sejak Sabtu lepas dengan penyertaan 19 IPT.

Saifuddin berkata dengan penambahan berbahas dalam dua lagi bahasa itu, ia secara tidak langsung dapat meluaskan kemahiran pelajar IPT menguasai bahasa asing.

Beliau berkata pertandingan debat berupaya melahirkan modal insan yang mempunyai semangat kerja berpasukan yang tinggi kerana ia melibatkan penyertaan ramai pelajar bermula daripada proses penyelidikan dan persiapan menghadapi pertandingan.

"Ini merupakan ruang yang baik dan positif kepada pelajar untuk melahirkan pendapat mereka terhadap sesuatu isu, mengupasnya dengan kritis dan secara bijaksana," katanya.

Saifuddin berkata pertandingan debat perlu turut diperluaskan di laman sosial untuk mendapat pandangan pelbagai pihak terhadap sesuatu isu.

Malam ini akan berlangsung pertandingan kemuncak antara USM dan Universiti Malaya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan