Tiada Rakyat Malaysia Cedera Dalam Letupan Bom Di Bangkok

Diterbitkan: Rabu, 15 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar pada Selasa mengesahkan tiada rakyat Malaysia cedera dalam kejadian letupan bom di Bangkok, Thailand petang ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, kementerian itu telah menerima laporan awal daripada Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok bahawa letupan bom telah berlaku pada pukul 4.15 petang (waktu tempatan) di kawasan Sukhumvit Soi 71 di ibu negara Thailand itu, Selasa.

"Kejadian itu telah menyebabkan seorang rakyat Thailand terbunuh manakala tiga yang lain cedera.

"Menurut Kedutaan Besar Malaysia, tiada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa dalam kejadian itu," kata kenyataan itu.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar dan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik, Syria menyarankan kepada semua pelajar Malaysia yang berada di negara itu supaya segera pulang ke tanah air.

Saranan itu dibuat memandangkan keadaan keselamatan di sana berkemungkinan besar akan menjadi lebih buruk dan boleh membahayakan keselamatan berikutan keganasan yang berterusan di negara itu sejak Mac lepas, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata kementerian turut menasihatkan rakyat Malaysia untuk menangguhkan buat sementara waktu lawatan ke Syria sehingga keadaan bertambah baik.

Kementerian sentiasa memantau perkembangan terkini situasi keselamatan di negara berkenaan.

"Setakat ini, Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik telah melaporkan bahawa kesemua 200 orang rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar berada dalam keadaan selamat dan tidak terlibat dalam rusuhan dan keganasan yang berlaku," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata pihaknya juga memohon kerjasama rakyat Malaysia yang berada di Syria supaya mendaftarkan diri dengan Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik, sekiranya belum berbuat demikian. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan