Tanaman Roselle, Daun Stevia Dapat Dipergiatkan Di Malaysia:Noorainee

Diterbitkan: Rabu, 15 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berharap agar tanaman Roselle dan Stevia di negara ini dapat dipergiatkan memandangkan ia mempunyai potensi untuk dikomersialkan selain untuk kegunaan harian.

Katanya, Roselle telah lama dikenal pasti sebagai tanaman yang mempunyai khasiat semula jadi, manakala daun stevia dapat menggantikan gula harian setelah dikenal pasti sebagai tumbuhan yang mengandungi kemanisan, sifar kalori dan sifar karbohidrat.

"Ini sesuai untuk mereka yang mengamalkan pemakanan rendah kalori dan rendah karbohidrat, selain mengelakkan penyakit kencing manis dan masalah kegemukan melampau atau obesiti.

"Dapat dikatakan bahawa gabungan stevia dan roselle bukan sahaja menghasilkan minuman dan makanan sedap, malah ia juga dapat dijadikan satu produk yang boleh dihasilkan secara komersial," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kempen Tanaman Berkelompok Roselle Dalam "Nationalwide Economic Effort For Malaysian Agristevian-Roselle (NAEEMA)" di sini, Rabu.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang; Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Syarifah Hashim; Pengerusi Stevian-Roselle Group Jamaliah Baba; Presiden Stevia-Roselle Group, Mohamed Bustami Yahaya dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Penajes, Rembau, Negeri Sembilan Abd Rahman Abd Rahmin.

Noorainee berkata, menerusi pembekalan benih dan khidmat nasihat kedua-dua tanaman itu daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, beliau berharap agar projek Tanaman Berkelompok Roselle dapat memperoleh kejayaan.

Sementara itu, Mohamed Bustami Yahaya dalam ucapannya berkata, jenama Roselle buatan tempatan sudah tidak lagi tersebar luas walaupun masih ada yang mengeluarkannya.

"Pokok Roselle sudah mula terpinggir, dilupai ataupun tidak diberi perhatian yang sewajarnya terutamanya pada masa sekarang, oleh itu kami mengambil inisiatif untuk memperluaskan penanaman roselle, serta memberi peluang pekerjaan kepada penanam-penanam kecil dan berkelompok terutamanya kaum wanita, pesara-pesara, ibu tunggal dan graduan-graduan yang berminat," katanya.

Seramai 34 penduduk dari Kampung Penajes, Rembau, Negeri Sembilan telah terpilih untuk menjadi perintis mengembangkan penanaman Roselle dan Stevia dalam laman sendiri dan secara berkelompok.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Penajes, Rembau juga telah mengenal pasti sebidang tanah seluas 0.4 hektar untuk memulakan projek penanaman itu.

Seorang penduduk Kampung Penajes, Rembau, Mohamad Nashrun Hazri, 18, berkata, tanaman Roselle dan Stevia senang ditanam dan dijaga menyebabkannya tertarik untuk menanam kedua-dua tanaman tersebut di halaman rumah.

"Sementara menunggu keputusan SPM, saya mengambil kesempatan untuk cuba menanamnya dan mendapat sokongan daripada anggota keluarga saya," katanya yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan SPM Disember lalu.

Noriah Amin, 66, dari Kampung Nerasau, Rembau berkata, beliau sudah memulakan tanaman Roselle dan Stevia di halaman rumah sejak 5 tahun lalu dan hasil tanaman tersebut digunakan untuk kegunaan keluarga.

"Kami sekeluarga menggunakan buah Roselle untuk membuat jus dan jem, kadang-kala saya menggunakan daun Stevia untuk ditaruhkan dalam masakan saya," katanya yang tinggal bersama tiga orang anak dan enam orang cucu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan