Prasarana Bakal Beli 20 Set Tren Enam Gerabak

Diterbitkan: Rabu, 15 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) bercadang membeli 20 set tren enam gerabak untuk digunakan bagi laluan penyambungan landasan Aliran Ampang apabila projek itu siap pada 2014.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Shahril Mokhtar berkata pembelian itu adalah antara penambahbaikan kepada sistem sedia ada.

"Penambahan tren adalah antara proses penambahbaikan perkhidmatan ketara yang kita (Prasarana) laksanakan selain penambahbaikan sedia ada seperti menaiktaraf 24 stesen di Ampang Line menerusi meningkat kemudahan tandas, ekskalator serta kemudahan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Sijil Pendaftaran Sistem Kualiti ISO 9001:2008 kepada Divisyen Rel Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL), di sini, Rabu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Sirim Berhad Datuk Jamaliah Kamis.

Sijil IS0 9001 yang dianugerah kepada Divisyen Rel RapidKL dapat membantu sistem pengurusan kualiti serta meningkatkan kecekapan operasi bagi memastikan ketepatan waktu pengangkutan tiba dan bertolak, meningkatkan keupayaan pengangkutan dan tumpuan yang khusus kepada keperluan pelanggan.

Penyambungan landasan Aliran Ampang bermula dari Stesen Seri Petaling dan berakhir di stesen baru Putra Heights di Subang adalah sebahagian daripada Pelaksanaan Projek Penyambungan Landasan LRT (LEP) yang bermula pada 2010 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2014.

Projek ini melibatkan penyambungan landasan bagi Aliran Ampang sepanjang 17.7km serta pembinaan 11 stesen baru dan penyambungan landasan bagi Aliran Kelana Jaya sepanjang 17km serta pembinaan 12 stesen baru.

Penyambungan landasan bagi Aliran Kelana Jaya pula bermula dari Stesen Kelana Jaya dan berakhir di Stesen Putra Heights.

Stesen Putra Heights akan menjadi stesen persimpangan bagi projek penyambungan itu.

Sementara itu, Shahril berkata penerimaan sijil itu akan dapat membantu meningkatkan sistem pengurusan dokumentasi serta disiplin budaya kerja pada tahap lebih tinggi.

"Dengan penerimaan sijil ini, sistem pengurusan dokumentasi yang diamalkan oleh kita (Divisyen Rel RapidKL) diiktiraf mempunyai piawaian yang tinggi," katanya.

Terdahulu pada ucapan perasmian, Jamaliah berkata pelaksanaan Sistem Kualiti ISO 9001:2008 akan memberi jaminan kepada pelanggan bahawa Divisyen Rel RapidKL mempunyai keupayaan untuk menyampaikan kualiti perkhidmatan pada tahap yang memenuhi keperluan pelanggan secara konsisten. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan