Perbezaan Dan Persamaan Antara Kaum Perlu Difahami Dengan Jelas - Najib

Diterbitkan: Rabu, 15 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha memupuk persefahaman dan kesedaran menerusi perbincangan, majlis dialog dan juga pendidikan amat penting supaya orang ramai memahami dengan jelas segala perbezaan dan juga persamaan antara kaum dalam negara.

Perdana Menteri berkata, rakyat umpamanya tidak harus terkeliru dengan apa yang dimaksudkan dengan soal kebudayaan dan soal akidah agama.

Beliau seterusnya memberi contoh kehadirannya pada sambutan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini, yang dipertikai oleh segelintir pihak apabila beliau memakai baju kurta, iaitu baju tradisional kaum India.

"Tapi orang itu tidak sedar bahawa di India ada berjuta-juta orang India beragama Islam yang memakai kurta hari-hari. Apakah mereka itu tidak beragama Islam?" katanya semasa berucap selepas jamuan makan tengah hari dan majlis ramah mesra dengan pemimpin-pemimpin agama, yang diadakan sempena sambutan 'Minggu Keharmonian antara Penganut Agama Sedunia' di kediaman rasminya Sri Perdana di sini Rabu.

Najib seterusnya memberi contoh pakaian yang dipakai oleh Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia Datuk Mustapha Ma, yang menurutnya, mempamerkan ciri-ciri kebudayaan Cina, yang tidak seharusnya dikaitkan dengan soal akidah.

"Sudah tujuh keturunan dia beragama Islam. Ini soal kebudayaan bukan soal akidah, jadi isu-isu seperti ini kalau kita tak faham, ia boleh jadi sesuatu yang boleh menimbulkan kecurigaan atau rasa benci antara kaum.

"Oleh itu melalui jawatankuasa mempromosi persefahaman dan keharmonian antara penganut agama amat wajar kita terangkan perkara-perkara sebegini," katanya.

Najib berkata, dalam kepesatan teknologi maklumat kini, apa jua yang dituturkan oleh pihak-pihak tertentu, ia boleh disemarakkan, atau menjadi api dalam sekam yang dapat merebak dengan meluas, mengakibatkan dunia hari ini berhadapan dengan persekitaran lebih mencabar, sekali gus menuntut usaha memupuk persefahaman dan kesedaran yang berterusan.

Beliau berkata, Malaysia menyanjung tinggi keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi selama ini hasil pengurusan yang sederhana, yang memang selaras dengan ajaran Islam.

"Walaupun sebelum ini kita tidak gunakan sebutan 'wasatiyyah' (sederhana) sebenarnya dasar-dasar kita memang berpaksi kepada konsep wasatiyyah ini sebagaimana yang dikehendaki agama. Antara wasatiyyah ini termasuk juga merujuk kepada aspek mengenai hormat kepada mereka yang menganut agama lain," katanya.

Menurutnya, ajaran-ajaran lain juga pada dasarnya mengetengahkan soal kesederhanaan menerusi cara dan sebutan masing-masing.

Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia bertujuan membangkitkan kesedaran dan kesefahaman antara penganut agama, demi keamanan sejagat serta memacu dunia ke arah persekitaran yang lebih sejahtera dan makmur.

Najib berkata, bahawa secara kebetulan, minggu pertama bulan ini agak unik apabila terdapat tiga acara yang cukup bermakna di Malaysia iaitu sambutan Maulidur Rasul, Chap Goh Mei dan Thaipusam.

"Jadi kalau ada negara yang hendak ditonjolkan sebagai model dalam soal ini (perpaduan kaum), saya fikir tidak ada yang lebih baik daripada Malaysia," kata Perdana Menteri.

Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia merupakan idea Raja Jordan, Raja Abdullah II dan puteranya Ghazi Muhammad yang menjadi utusan peribadi serta penasihat kepada baginda pada Perhimpunan Agung PBB ke-65 di New York 2010, dan idea yang diketengahkan kemudiannya menjadi resolusi yang diterima pakai PBB untuk disambut pada minggu pertama Februari setiap tahun di negara-negara anggota. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan