Najib Anggap Kempen MyDaftar Anjuran MIC Unik, Istimewa

Diterbitkan: Rabu, 15 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerjasama pelbagai pihak menjayakan Kempen MyDaftar bagi menyelesaikan masalah dokumentasi yang berlanjutan melibatkan masyarakat India di negara ini, boleh dijadikan contoh dalam menyampaikan perkhidmatan yang cepat kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata kempen itu telah berjaya mencipta sejarah sebagai satu pendekatan yang berpaksikan konsep apabila agensi-agensi kerajaan telah turun padang dan masuk ke kawasan komuniti India.

"Kempen MyDaftar ini bukan sahaja unik sebab ia turun padang tetapi juga istimewa kerana terdapat kerjasama yang sungguh baik dengan pelbagai pihak seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan dan tidak kurang pentingnya kerjasama daripada pemimpin politik.

"Oleh itu, kerjasama ini merupakan satu model yang sangat baik untuk kita menangani cabaran dan permasalahan kaum India dan kaum-kaum lain," katanya pada majlis penganugerahan dokumen pengenalan diri Kempen MyDaftar kepada 100 pemohon dari Selangor dan Kuala Lumpur di sini, Selasa.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S.Subramaniam merangkap Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India (SITF), dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G.Palanivel yang juga Presiden MIC.

Sejak kempen itu dilancarkan pada Februari tahun lepas di sembilan negeri, daripada 9,529 permohonan diterima, 5,593 permohonan dokumen pengenalan diri, termasuk 4,023 permohonan kewarganegaraan, telah diluluskan oleh kerajaan dalam masa kurang dari setahun.

"Jumlah itu belum pernah dicapai sebelum ini, dan merupakan rekod pencapaian yang membuktikan bahawa kerajaan tidak membuat janji kosong tetapi telah dapat menunaikan janjinya melalui penyelesaian-penyelesaian yang sudah menjadi kenyataan," kata Najib.

Beliau berkata baki kira-kira 3,900 permohonan yang sudah diproses dengan lengkap, tidak dapat diluluskan kerana beberapa sebab, termasuk kekurangan maklumat.

"Dalam hal ini, saya menggesa Kementerian Dalam Negeri, SITF dan pihak lain yang terlibat untuk terus berusaha membantu menyelesaikan permohonan tersebut agar kelulusan dapat diberikan kepada semua pemohon yang layak," kata Perdana Menteri.

Katanya kerjasama untuk menjayakan kempen itu benar-benar menepati konsep 1Malaysia dan segala usaha yang dilakukan adalah bersifat inklusif dan menegakkan prinsip keadilan sosial.

Najib berkata beliau yakin kerjasama sedemikian yang bersandarkan kepada konsep "nambikei" (keyakinan) terhadap kerajaan akan membuahkan hasil yang sangat baik dan akan membuka pengharapan baru kepada kaum India di negara ini.

"Mari jadikan kerjasama ini sebagai model dan contoh yang baik untuk terus melaksanakan tanggungjawab kita dan seterusnya berpegang kepada keyakinan atau 'nambikei' kepada kerajaan," katanya.

Najib menasihati mereka yang menerima taraf kewarganegaraan agar menjadi rakyat yang setia kepada negara, bertanggungjawab dan membantu membangunkan negara serta sama-sama menjayakan transformasi Malaysia ke negara maju berpendapatan tinggi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan