KDN Capai 100 Peratus Penyelesaian Aduan Awam

Diterbitkan: Rabu, 15 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya mencapai 100 peratus dalam penyelesaian aduan orang awam tahun lepas, kejayaan kali kedua seperti yang dicapainya pada tahun sebelum itu, kata Ketua Setiausaha KDN Tan Sri Mahmood Adam.

"Laporan BPA (Biro Pengaduan Awam) yang membabitkan semua kementerian bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Dis 2011, merekodkan kementerian ini sebagai kementerian yang paling banyak menerima aduan orang ramai.

"Pada masa yang sama ia direkodkan di kedudukan teratas dalam senarai kementerian yang berjaya menyelesaikannya pada kadar 100 peratus," katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata sepanjang tahun lepas KDN menerima 1,356 aduan, namun hanya 738 aduan yang didapati berasas.

Mahmood berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula dilaporkan berada pada kedudukan teratas dalam penerimaan jumlah aduan di kalangan lapan agensi dan jabatan kerajaan persekutuan, iaitu sebanyak 842 aduan.

Sementara sebuah lagi jabatan di bawah KDN iaitu Jabatan Imigresen berada di tempat kelima dengan menerima 281 aduan.

Bagaimanapun hanya PDRM dan Jabatan Imigresen dari kalangan agensi dan jabatan itu yang berjaya menyelesaikan aduan pada kadar 100 peratus, katanya.

Mahmood berkata kualiti layanan dan perkhidmatan KDN kepada pelanggan akan terus dipertingkatkan terutama menerusi kaunter Pusat Khidmat Setempat yang mula beroperasi di aras lobi kementerian di Blok D1, Putrajaya sejak Oktober 2010. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan