Isu Anwar : PAS Tidak Perlu Keluar Pakatan Rakyat

Diterbitkan: Rabu, 15 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Israel seperti yang dilaporkan dalam The Wall Street Journal (WSJ) tidak memerlukan PAS untuk membuat keputusan keluar daripada Pakatan Rakyat.

Malah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Abdul Samad berkata, kenyataan tersebut tidak menjejaskan hubungan PAS dengan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Biasalah, perbezaan pendapat di antara parti komponen Pakatan Rakyat adalah perkara biasa. Namun apabila melibatkan isu Palestin, kita menyeru PKR dan DAP supaya menerima pendirian PAS.

"Saya tidak lihat kenyataan beliau memerlukan kita untuk keluar daripada Pakatan Rakyat," katanya kepada mStar Online, Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Selasa yang menggesa Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya membawa keluar parti itu daripada pembangkang bagi memastikan perjuangan Islam yang di dukung mereka selama ini tidak tersasar.

Menurut Khalid, Mohd Shafie tidak layak untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana pendirian Umno terhadap pemimpin Hamas khususnya jauh lebih teruk.

"Umno tidak pernah iktiraf pemimpin Hamas tetapi Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah bertemu sendiri dengan Menteri Pertahanan Israel," katanya.

Bagaimanapun, Khalid berkata, Anwar telah berjumpa dengan pemimpin Hamas, Khalid Mash’ad yang tidak diiktiraf Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Saya taklah nampak pendapat Anwar itu sampai ke tahap seperti Umno tidak iktiraf Hamas. Pendirian Anwar jauh lebih dekat dengan PAS," katanya.

Khalid berkata, tindakan Anwar untuk bertemu dengan Mursyidul Am PAS bagi menjelaskan kenyataan itu merupakan satu langkah bijak.

"Saya rasa akhbar Utusan Malaysia hanya mengambil hujung kenyataan Anwar bersama WSJ. Sebenarnya kalau nak ikutkan Anwar sebut supaya Israel perlu iktiraf hak Palestin jika mahu kita mengiktiraf hak wujudnya negara itu," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, isu gesaan Nik Aziz tidak perlu diperbesarkan kerana perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat adalah perkara biasa.

"Pendirian PAS jelas bahawa dalam isu ini kita menentang kewujudan negara Israel dan semua pihak perlu menyokong dan berpendirian yang sama," katanya.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Selangor menasihatkan Mohd Shafie Apdal supaya tidak menghasut parti itu dalam membuat teguran kepada sekutunya.

Ketua Pemudanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, parti itu tetap setia menjalin persepakatan bersama PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat.

Malah, katanya, sebarang teguran dan nasihat dibuat secara semangat muhibah, bertolak ansur dan setia kawan, bukannya berdasarkan ugutan serta ancaman.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan