Najib Umum Dana Pemudahan RM200 Juta Untuk Projek Danga Waterfront

Diterbitkan: Isnin, 13 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Projek Pembangunan Pinggir Air Danga (Danga Waterfront) telah mendapat perhatian kerajaan apabila kabinet bersetuju menyediakan dana pemudahan sebanyak RM200 juta untuk projek berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan untuk menyediakan dana itu, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan persekutuan ke atas projek itu.

"Bandar Pinggir Air Bersepadu Iskandar di mana Danga Bay adalah tumpuannya, ialah antara kawasan pembangunan paling menarik di Malaysia, dan pastinya di Johor," kata beliau di majlis ulang tahun ke-15 Danga Bay dan pelancaran Yayasan Danga di sini yang dihadiri oleh Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Perdana Menteri berkata akses yang mudah melalui udara, laut dan jalan raya ke projek itu dan kedudukannya yang unik di hujung Semenanjung dan bersempadan Singapura, merupakan kelebihan penting sebagai destinasi gaya hidup, serta dapat menarik perhatian para pelabur.

Projek Danga Waterfront itu yang merentasi sepanjang 25km dari bahagian timur ke bahagian barat Tambak Johor, akan menyaksikan perubahan wajah yang lengkap Johor baharu dan keseluruhan tapak berhadapan laut yang menghadap Singapura.

Pembangunan itu, yang akan dilancarkan beberapa fasa dalam tempoh 25 tahun dengan nilai pembangunan kasar RM80 bilion, adalah kerjasama awam-swasta yang melibatkan kerajaan dan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH).

Najib berkata usaha menggalakkan terhadap pembangunan semula bandar adalah seiring dengan pendekatan pembangunan koridor oleh kerajaan persekutuan untuk menghidupkan semula bandar-bandar lama dengan gaya hidup yang lebih baharu.

"Dalam kes pembangunan Iskandar Waterfront City ini, saya gembira yang ciri-ciri baharu yang menarik telah dirancang untuk bandaraya ini seperti terminal kapal pelayaran, marina, dermaga nelayan serta blok menara untuk menempatkan pejabat kewangan dan komersil," kata beliau.

Menurut perdana menteri, potensi sebenar Danga Bay kini hampir direalisasikan dengan pengumuman pelan induk pembangunan Iskandar Waterfront City ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan