Hari Kekasih: Pemuda PAS Minta Karpal Hormati Pendirian Agama Lain

Diterbitkan: Isnin, 13 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS pada Isnin meminta Pengerusi DAP, Karpal Singh menghormati pendirian agama lain dalam isu sambutan Hari Kekasih.

Ketuanya, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, Karpal tidak perlu menjadikan isu sambutan Hari Kekasih sebagai satu polemik kerana Pemuda PAS tidak pernah menghalang masyarakat bukan Islam daripada meraikannya.

“Karpal tidak perlu menjadikan ini sebagai polemik kerana kita tidak menghalang pihak lain termasuk orang bukan Islam menyambut Hari Kekasih.

“Apa yang menjadi fokus kita adalah umat Islam terutamanya generasi muda. Orang Islam punya tatacara tersendiri untuk meraikan kasih sayang antara suami isteri dan kekasih. Tidak perlu ada hari-hari tertentu untuk meraikan kasih sayang,” katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, Isnin.

Nasruddin berkata, Pemuda PAS sentiasa menghormati hak orang lain dan mereka tidak akan campur tangan dalam urusan agama lain sebaliknya mereka menegur sikap golongan muda Islam yang meraikan sambutan Hari Kekasih.

“Kalau bercakap soal hak asasi, dalam Islam kita ada hak-hak yang perlu dihormati.

“Jika Karpal mahu bercakap soal hak asasi maka beliau juga perlu menghormati umat Islam yang terikat dengan tatacara yang telah digariskan dalam Islam. Itu yang kita tegaskan dan Karpal perlu memahami perkara ini," katanya.

Minggu lalu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor dilaporkan berkata, pendirian PAS menentang sambutan Hari Kekasih, adalah bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan. Karpal dipetik sebagai berkata, parti itu kecewa dengan tindakan PAS, satu parti dalam komponen longgar Pakatan Rakyat (PR) yang menentang sambutan Hari Kekasih.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan