Puteri, Pemuda Umno Digesa Pergiat Usaha Daftar Ahli Sebagai Pengundi

Diterbitkan: Ahad, 12 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri dan Pemuda Umno digesa supaya mempergiatkan usaha untuk mendaftar ahli Umno terutamanya golongan muda sebagai pengundi.

Gesaan dibuat oleh Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang berkata usaha berkenaan perlu dilakukan secepat mungkin sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan.

"Saya harap masih sempat jika dibuat (pendaftaran) dalam seminggu dua ini kerana proses pendaftaran mengambil masa selama tiga bulan sebelum mereka yang mendaftar boleh mengundi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Penerangan Perdana Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Ahad.

Beliau mengulas mengenai pendedahan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa hampir 400,000 ahli Umno belum mendaftar sebagai pengundi.

Ahmad berkata, jika pendaftaran sebagai pengundi tidak sempat dilakukan, ahli Umno itu boleh membantu sebagai jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula berkata, 86 peratus daripada kira-kira 380,000 anggota pergerakan itu telah mendaftar sebagai pengundi.

"Puteri mempunyai ahli berusia 18 hingga 21 tahun yang agak ramai. Masalah yang kita hadapi ialah susah untuk mengesan ahli kita ini, mungkin kerana mereka telah berpindah dari alamat asal, sama ada telah berhijrah di dalam negeri atau luar negara. "Antara kaedah kita gunakan ialah kita hantar surat melalui pos untuk mengingatkan mereka bahawa mereka sudah layak mengundi dan ini kita lakukan secara berterusan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan