Projek Penyambungan Landasan LRT Berjalan Lancar:Prasarana - Berita Semasa | mStar

Projek Penyambungan Landasan LRT Berjalan Lancar:Prasarana

Diterbitkan: Ahad, 12 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelaksanaan Projek Penyambungan Landasan LRT (LEP) yang bermula pada 2010 berjalan lancar, dengan hampir 90 peratus kontrak tender telah diserahkan kepada syarikat yang dilantik.

Pengarah kumpulan pembangunan projek Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) Zulkifli Mohd Yusoff berkata sebahagian besar pakej kerja projek itu telah diserahkan kepada kontraktor terbabit, kecuali bagi dua stesen dan depoh untuk Aliran Ampang.

Katanya kontrak bagi membekalkan tren dan pakej kerja untuk sistem belum diserahkan kerana menunggu bangunan stesen berkenaan siap dibina.

"Setelah kerja sivil siap, barulah kami melantik syarikat untuk melaksanakan kerja itu secara tender, bagi sistem operasi seperti bekalan tenaga elektrik dan kerja berkaitan landasan.

"Kami harap semua kontrak dapat diserahkan kepada syarikat menjelang pertengahan tahun ini," katanya pada sesi taklimat media mengenai projek itu di sini, Ahad.

Dalam melaksanakan projek ini, Prasarana menghadapi pelbagai cabaran, bukan saja daripada aspek pembinaan, tetapi juga isu sosial, termasuk pencemaran bunyi daripada tren, yang dijangka menimbulkan keadaan tidak selesa dalam kalangan penduduk di sesetengah bahagian laluan.

Zulkifli berkata kebanyakan masalah berkaitan pencemaran bunyi akan diselesaikan melalui pemasangan benteng penghadang bunyi selepas berbincang dengan penduduk terbabit.

Projek ini melibatkan penyambungan landasan bagi Aliran Ampang sepanjang 17.7km serta pembinaan 11 stesen baru dan penyambungan landasan bagi Aliran Kelana Jaya sepanjang 17km serta pembinaan 12 stesen baru.

Penyambungan landasan Aliran Ampang bermula dari Stesen Seri Petaling dan berakhir di stesen baru Putra Heights di Subang.

Penyambungan landasan bagi Aliran Kelana Jaya pula bermula dari Stesen Kelana Jaya dan berakhir di Stesen Putra Heights.

Keseluruhan projek ini dijangka siap pada 2014.

Stesen Putra Heights akan menjadi stesen persimpangan bagi projek penyambungan itu, kata Zulkifli.- BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan