Kerajaan Pusat Akan Perincikan Peruntukan Kepada Kelantan

Diterbitkan: Ahad, 12 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Kerajaan Pusat akan memperincikan setiap peruntukan yang diperuntukkan kepada kerajaan Kelantan sejak beberapa tahun lepas agar rakyat negeri itu mengetahui sejelas-jelasnya mengenai perkara itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini kerana mengikut kajian yang dilakukan, rakyat Kelantan masih belum mendapat gambaran jelas apa sumbangan kerajaan Pusat terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS itu dalam membangunkan negeri tersebut selama ini.

"Rakyat Kelantan masih tidak mengetahui secara terperinci peruntukan kerajaan Pusat kepada Kelantan selama ini. Ini perkara utama yang kita akan perjelaskan dalam tempoh terdekat.

"Untuk pengetahuan setiap tahun lebih 30 peratus peruntukan itu digunakan bagi tujuan perbelanjaan tadbir urus kerajaan negeri dan 70 peratus lagi bagi peruntukan perbelanjaan pembangunan kerajaan negeri dan ini perlu rakyat tahu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan negeri Kelantan di Jabatan Pembangunan Persekutuan di sini, Ahad.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata rakyat negeri itu juga perlu mengetahui kerajaan Pusat telah membina sebuah loji air di Pintu Geng di sini dengan kos sebanyak RM52 juta.

"Bila siapnya loji ini nanti akan diserahkan kepada Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan hasilnya akan diperolehi syarikat itu yang dibina demi untuk rakyat mendapatkan bekalan air bersih," katanya.

Beliau berkata, selain itu sebanyak RM100 juta lagi diperuntukkan kerajaan Pusat untuk membina jalan-jalan negeri.

Menurutnya, tindakan memperincikan peruntukan tersebut bukan untuk membangga diri sebaliknya untuk menafikan tohmahan pembangkang kononnya kerajaan Pusat berlaku zalim terhadap Kelantan dengan menganaktirikan mereka.

Mustapa juga menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan Pusat telah gagal melaksanakan beberapa projek di Kelantan sebaliknya projek berkenaan seperti Jambatan Kedua Sultan Ismail Petra hanya lewat disiapkan dan bukannya gagal.

"Kerajaan Pusat sendiri akan pastikan setiap projek yang kita laksanakan tidak gagal tetapi kelewatan yang berlaku ada sebab yang munasabah," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan