Rotavirus: Keadaan Masih Terkawal - Liow

Diterbitkan: Sabtu, 11 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Sabtu menegaskan kejadian jangkitan akut gastroenteritis (AGE) berlaku di kawasan Batang Padang dan Hilir Perak di Perak adalah dalam kawalan serta tidak ada kes baru yang dilaporkan.

Beliau menafikan teori bahawa sebuah loji air berdekatan tercemar kerana hanya dua daerah itu sahaja yang terlibat dengan wabak berkenaan. "Mungkin saluran bekalan air ke kedua-dua kawasan berkenaan sahaja yang tercemar. Kami masih menyiasat dan akan mengetahui hasilnya sedikit masa lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan satu kempen kesihatan di Gombak, dekat sini.

Rotavirus, sejenis virus dalam air adalah punca paling biasa penyebab kepada cirit-birit di kalangan bayi dan kanak-kanak. Kejadian wabak itu yang berlaku sejak akhir bulan lepas mengakibatkan dua kematian dan demam ke atas lebih 2,200 orang kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata cadangan sistem 1Penjagaan kesihatan yang bertujuan menaikkan taraf dasar penjagaan kesihatan kebangsaan sekarang masih lagi di peringkat awal perbincangan.

Justeru itu, katanya, adalah terlalu awal bagi orang ramai membahaskan perkara tersebut.

"Ingin saya tegaskan bahawa ia baru di peringkat perbincangan sahaja. Kami pasti akan meluaskan perbincangan mengenainya sebanyak mungkin melibatkan orang ramai, pertubuhan bukan kerjaan dan ahli profesional.

"Kami belum pun membuat sebarang keputusan. Ia belum pun berada di peringkat membuat dasar. Terlalu awal membincangkannya sekarang," katanya.

Katanya, jawatankuasa kerja 1Penjagaan telah diberi masa sehingga dua tahun bagi mengemukakan satu konsep dan baru sahaja mula mendapatkan maklum balas daripada badan-badan berkaitan.

"Kami masih ada sehingga penghujung 2013 untuk mencadangkan satu konsep, sekiranya orang ramai tidak menyukainya kami akan membatalkannya," tambah beliau. Liow menafikan bahawa sekim tersebut, yang diwajibkan ke atas rakyat Malaysia apabila dilaksanakan, menghendaki setiap pekerja menyumbang 10 peratus daripada gaji mereka kepada sekim itu.

Katanya, kerajaan dan juga pihak pekerja akan sama-sama menanggung kosnya nanti. "Orang ramai mahukan maklumat, tetapi kami tidak dapat memberinya kerana tidak ada. Jadi apabila sahaja jawatankuasa itu selesai berbincang, barulah perkara itu terbuka kepada orang ramai," katanya.

Liow berkata sistem yang ada sekarang tidak akan ditukar dan 1Penjagaan adalah sebagai penambahbaikan. "1Penjagaan tidak akan menggantikan dasar kesihatan kebangsaan yang ada namun permintaan meningkat bagi perkhidmatan kesihatan dan perubahan corak penyakit menghendaki kerajaan memperbaiki lagi sistem kesihatan negara.

"Beban memberi kesihatan terus meningkat. Kerajaan sedang mencari cara serta jalan memperbaiki lagi sistem penjagaan kesihatan," kata Liow sambil menyebut bahawa peruntukan RM16 bilion disediakan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan tahun ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan