Kerajaan Belanja RM200 Juta Laksana Projek Penyeragaman Harga Di Sabah - Ismail Sabri

Diterbitkan: Sabtu, 11 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membelanjakan sebanyak RM200 juta bagi melaksanakan Projek Penyeragaman Harga (PPH) di Sabah mulai tahun lalu hingga tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM67.5 juta dibelanjakan pada tahun lalu dan RM90 juta lagi untuk tahun ini bagi membayar kos pengangkutan barangan keperluan rakyat ke kawasan pulau dan pedalaman di Sabah bagi memastikan harga barangan sama seperti di kawasan pekan atau bandar berhampiran.

"Sebelum ini kawasan yang jauh di pedalaman dan kawasan pulau, penduduknya terpaksa membeli barangan dengan harga jauh lebih tinggi daripada kawasan bandar disebabkan oleh kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung oleh pengangkut dan harga kos itu dipindahkan kepada pengguna.

"Jadi dengan program PPH yang diperkenalkan, kerajaan akan menampung kos (pengakutan tersebut). Tujuan kita ialah untuk memastikan di kawasan pedalaman dan pulau-pulau akan mendapat harga yang sama dengan harga di kawasan bandar atau pekan berhampiran," katanya di sini, Sabtu.

Ismail Sabri berkata demikian kepada Bernama selepas melawat Pusat Jualan (Pos) di Pulau Sebatik, kira-kira 20 minit perjalanan dari tanah besar Tawau dengan menggunakan bot laju.

Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh, Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Sebatik Abdul Muis Picho dan pegawai-pegawai dari kementerian tersebut.

Katanya pada masa ini di Sabah terdapat 90 Pos dan kerajaan bersedia menambah bilangannya bergantung kepada keperluan serta mematuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan seperti lokasi kawasan serta keadaan pengangkutan ke kawasan berkenaan.

"Kalau di Sarawak yang terpaksa naik perahu untuk sampai ke pedalaman, itu memang kita wujudkan Pusat Jualan dan Sarawak memerlukan banyak Pos berbanding Sabah sebab kawasan pedalaman di Sarawak lebih banyak dan tidak dapat dihubungi dengan jalan raya.

"Di Sarawak, ada kawasan yang penduduknya terpaksa membayar RM148 untuk satu tong gas yang beratnya RM14kg memasak sebelum adanya penyeragaman harga kerana (tong gas) terpaksa di bawa menggunakan pesawat dan jika melalui darat mengambil masa satu hari satu malam. Dengan adanya program ini, penduduk kawasan berkenaan kini menikmati harga RM26 untuk bahan itu," katanya.

Abdul Ghapur pula berkata pihaknya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memperkenalkan program berkenaan yang memberi peluang kepada rakyat di luar bandar untuk menikmati harga barangan keperluan mereka seperti harga di kawasan bandar atas inisiatif kerajaan Barisan Nasional.

Sebelum PPH dilaksanakan, harga tong gas 14kg di Palau Sebatik ialah antara RM32 hingga RM39 berbanding harga di bandar Tawau iaitu RM26 manakala petrol dan diesel dijual pada harga RM4 seliter beranding masing- masing RM1.90 dan RM1.80 di bandar Tawau. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan