Kerajaan Akan Semak Semula Elaun Guru Besar - Muhyiddin

Diterbitkan: Sabtu, 11 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan menyemak semula elaun guru besar yang didakwa terlalu rendah.

"Saya janji perkara ini kita akan semak semula. Pada prinsipnya saya setuju tapi bukan saya nak bayar duit itu. Yang bayar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya bagi menjawab soalan seorang guru besar pada Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak di sini, Sabtu.

Semasa sesi itu, guru berkenaan membangkitkan kepada Muhyiddin bahawa guru besar hanya menerima elaun sebanyak RM100 sebulan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, perkara itu perlu dikaji dengan teliti kerana ia melibatkan kewangan kerajaan.

Jika amount (peruntukan) tidak besar boleh diambil kira," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan lain berhubung peranan guru untuk menangkis serangan pembangkang terhadap kerajaan, Muhyiddin berkata guru juga berperanan menjelaskan kepada rakyat perkara benar.

"Kita tidak perlu bersifat apologetik apabila kita membicarakan apa yang kerajaan telah buat," katanya.

Beliau berkata walaupun tidak boleh terlibat dalam politik secara aktif, guru sebagai penjawat awam berperanan memberi penjelasan kepada rakyat terhadap serangan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang. "Mereka memfitnah, membuat pelbagai tohmahan. Kita dalam perkhidmatan kerajaan tahu bahawa itu tidak benar," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Muhyiddin berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk membaiki 2,000 surau yang terletak di kawasan sekolah.

"Ini adalah peruntukan yang disediakan oleh Perdana Menteri di bawah program transformasi luar bandar," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan