Marwan Masih Hidup?

Diterbitkan: Jumaat, 10 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Maklumat risikan terbaru mendapati tiga pengganas warga Malaysia yang dipercayai terbunuh di Filipina minggu lalu berkemungkinan masih hidup.

Sumber pasukan risikan Filipina mendedahkan bahawa Polis Kebangsaan Filipina (PNP) masih belum menemui mayat pemimpin kanan pengganas Jemaah Islamiyah, Zulkifli Abdul Hir atau lebih dikenali sebagai Marwan dan anggota Darul Islam (DI) Sabah, Amin Bacho dan Jeknal Adil yang maut dalam serangan oleh tentera negara itu pada awal pagi, 2 Februari lalu.

"Mereka mungkin masih hidup walaupun ketua Abu Sayyaf, Umbra Jumdail atau Doc Abu dan anaknya disahkan terkorban," kata sumber itu.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa Filipina sekiranya tiga warga Malaysia antara yang maut.

PDRM turut memperoleh sampel DNA daripada ketiga-tiga ahli keluarga suspek pengganas itu.

Sumber tersebut mendedahkan pihak berkuasa masih tidak pasti sama ada Amin Bacho dan Jeknal Adil berada di kawasan tersebut ketika serangan menerusi udara.

Bagaimanapun, mereka yakin Marwan berada di lokasi serangan.

Agensi berita antarabangsa, AP melaporkan bahawa dua pegawai keselamatan di Filipina berkata maklumat risikan terbaru menunjukkan Jumdail terkorban tetapi dua yang lain, Marwan dan warga Singapura, Abdullah Ali @ Muawiyah masih hidup.

Tentera Filipina tetap menegaskan bahawa Marwan dan Muawiyah turut terbunuh dan masih meneruskan buruan terhadap ahli lain yang sempat menyelamatkan diri.

Namun tiada mayat ditemui oleh polis negara tersebut di tempat kejadian berhampiran perkampungan Lanao Dakulah.

Marwan, 45, disifatkan sebagai salah seorang pengganas paling dikehendaki di Asia Tenggara.

Sebelum ini kerajaan Amerika Syarikat menawarkan AS$ 5mil (RM15.1 juta) sebagai ganjaran bagi membunuh atau menangkap Marwan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, proses pemadanan DNA menjadi sukar kerana pengganas yang selamat dalam serangan itu dipercayai sudah mengebumikan rakan mereka yang terkorban.

"Pertama sekali, tentera Filipina perlu mengenal pasti lokasi mayat. Selepas itu barulah kita boleh mengesahkan DNA mereka yang terbunuh," katanya di pejabatnya di sini, Khamis.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan