Abdul Kadir Sedia Hadapi J/Kuasa Disiplin Umno

Diterbitkan: Jumaat, 10 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata beliau bersedia untuk berdepan Jawatankuasa Disiplin Umno sekiranya dipanggil untuk siasatan.

Abdul Kadir, yang juga timbalan presiden Anggota Amanah Merdeka, berkata beliau menjangka dipanggil jawatankuasa itu apabila didakwa mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan kepentingan parti semasa ditemu bual oleh beberapa Internet TV baru-baru ini.

"Saya juga akan memberikan salinan DVD temu bual itu kepada Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor minggu depan," katanya pada sidang berita di Seri Kembangan dekat sini, Jumaat.

Dua keping DVD itu yang mengandungi temu bual beliau dengan Harakah Daily, MOBTV.my, Malaysiakini.tv dan ucapan pada satu seminar turut diedarkan kepada wartawan hari ini.

Abdul Kadir berkata beliau seorang penyokong setia dan masih setia kepada Umno dan tindakannya membuat kenyataan demikian adalah untuk kebaikan parti dan kerajaan. "Sebagai anggota Umno yang telah berjuang dalam parti selama 55 tahun dan telah memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan, sudah tentu saya mempunyai pengalaman dan hak untuk memberi pandangan," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan