Mahasiswa Perlu Bijak Menilai Sekiranya Mahu Berpolitik - Khairy

Diterbitkan: Khamis, 9 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahasiswa perlu bijak menilai pandangan dan perjuangan politik di negara ini sekiranya mahu berpolitik bagi memastikan pewaris legasi negara itu tidak dijadikan boneka pihak yang berkepentingan.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata mahasiswa perlu mendengar dan meneliti pandangan politik pelbagai pihak, sebelum menyatakan sokongan terhadap pihak yang dipilih.

"Jangan dengar satu pandangan daripada satu pihak terus sokong, jangan memihak kepada sesuatu pendapat secara melulu, nilai sedalamnya terlebih dahulu. "Memang tidak boleh elak ada pihak yang mahu jadikan mahasiswa ini boneka mereka, maka mahasiswa perlu bijak menilai semua ini bagi memilih mana yang baik," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada November tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi membenarkan mahasiswa menjadi ahli mana-mana parti politik.

Khairy berkata pendedahan mahasiswa kepada politik mampu mematangkan serta membina jati diri mereka seterusnya menilai pandangan politik pelbagai pihak dengan lebih teliti.

"Saya tidak setuju dengan cadangan mengekang terus mahasiswa ini berpolitik kerana pengalaman dalam politik ini mampu mendidik mereka untuk mewarisi kepimpinan negara satu hari nanti," katanya.

Presiden Majlis Belia Malaysia Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata mahasiswa perlu bijak menilai sesuatu perjuangan politik bagi memastikan perjuangan itu berpaksikan kepentingan rakyat.

"Mereka perlu buktikan bahawa mereka pejuang rakyat, bukan pejuang politik semata-mata. Mereka mesti menjadi ahli politik yang mampu mengubah landskap politik tanah air kepada yang lebih baik untuk rakyat.

"Mereka golongan bijaksana, jadi mereka mesti menjadi ahli politik yang lebih baik daripada ahli politik sedia ada. Mereka perlu menukar politik negara daripada bercorak serang-menyerang kepada intelektual," katanya. Mohamed Maliki berkata politik seseorang mahasiswa tidak boleh hanya berdasarkan politik kepartian sahaja, politik mereka mesti berdasarkan pandangan dan pendirian sesebuah entiti tentang sesuatu isu.

Beliau berkata mahasiswa yang mahu melibatkan diri dengan politik perlu bersedia untuk dilayan sebagai ahli politik serta bersifat cekal dan tabah bagi menghadapi pahit maung dunia politik.

Naib Presiden 1 Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Hasnul Fairuz Hushin Amri berkata sekira mahasiswa mahu berpolitik mereka perlu mengkaji serta memahami dunia politik bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

"Mereka perlu tahu susur galur parti politik daripada segi dasar perjuangan, pendirian dan pelbagai sudut lagi supaya mereka tidak sewenang-wenangnya diperkudakan.

"Mahasiswa ini bijak dan agresif, namun bila mahasiswa hanya agresif tidak menggunakan kebijaksanaan, mereka akan jadi taksub dan tidak mahu mendengar pandangan pihak lain, hanya satu pihak sahaja," katanya.

Hasnul Fairuz menyokong cadangan untuk meletakkan 'sempadan' terhadap aktiviti politik mahasiswa supaya mereka hanya boleh berpolitik di luar, bukan di dalam kampus. "Dalam kampus perlu fokus menimba ilmu, perlu menggunakan peluang sebaiknya, bila di luar beri mereka ruang untuk berpersatuan dan berpolitik. Jangan terlalu 'rigid' sampai tidak benarkan berpolitik terus," katanya.

Pada 26 Jan lepas Pengerusi Jawatankuasa Pindaan AUKU 1971, Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata jawatankuasa itu menerima cadangan mengatakan sekiranya mahasiswa berpolitik di luar, kampus perlu bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik.

Profesor Madya daripada Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Shamrahayu Abd Aziz agak skeptikal tentang cadangan mewujudkan 'sempadan' tersebut.

"Bukan menentang, malah ia adalah cadangan yang amat baik. Namun sukar untuk memastikan mahasiswa meninggalkan terus sentimen politik mereka di pintu pagar kampus, kemudian 'memakai' kembali bila berada di luar kampus.

"Sukar memastikan mereka tidak bercakap mengenai politik dalam kampus. Mekanisme paling berkesan, kita secara tegas pastikan tiada aktiviti seperti ceramah melibatkan parti politik dalam kampus itu, kita pastikan parti politik disekat terus," katanya.

Beliau berkata dalam berpolitik seseorang mahasiswa perlu menampilkan diri mereka sebagai seorang yang matang, sebagai contoh mengulas sesuatu isu berdasarkan kajian serta alasan yang bijaksana, bukan melenting terus menyerang tanpa usul periksa. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan