Tidak Munasabah DAP Salahkan MCA Berhubung Pemberian Angpau Putih Oleh Perkasa

Diterbitkan: Rabu, 8 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tuduhan bahawa MCA ada hubungan dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) adalah tidak munasabah kerana Perkasa pernah mengadakan demonstrasi di ibu pejabat MCA di sini dan telah mendesak anggotanya supaya tidak mengundi MCA pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden MCA Datuk Seri Dr Chor Chee Heung berkata, "Jika MCA ada hubungan dengan Perkasa, kenapa Perkasa mengadakan demonstrasi di ibu pejabat MCA dan mendesak anggotanya agar tidak mengundi calon MCA pada pilihan raya umum akan datang?

"Jika apa yang dikatakan Lim Guan Eng pada Selasa adalah benar, adakah ia menandakan sekiranya terdapat mana-mana pertubuhan yang meminta anggotanya memboikot DAP, akan senyap-senyap bekerjasama dengan DAP? Ini benar-benar dakwaan yang tidak berasas.

"Saya menasihatkan Lim Guan Eng jangan sesekali menyalahkan MCA tanpa alasan kukuh, jika tidak ia akan menjadi tidak munasabah," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Chor berkata dakwaan Guan Eng bahawa MCA mempunyai hubungan dengan Perkasa hanyalah 'semata-mata mahu menyembunyikan hubungan rapat antara DAP dan PAS'.

Isu tentang MCA mempunyai hubungan dengan Perkasa timbul apabila pengerusi cawangan MCA dilihat pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Perkasa di mana presidennya, Datuk Ibrahim Ali telah memberikan wang di dalam sampul putih, yang mana ia adalah dilarang dalam adat resam masyarakat Cina. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan