Malaysia Optimistik Terima Pembantu Rumah Mac Ini:Dr Subramaniam

Diterbitkan: Rabu, 8 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia amat optimistik akan menerima kedatangan pembantu rumah Indonesia ke negara ini mulai awal Mac ini, selepas penghantaran pembantu rumah dibekukan oleh kerajaan Republik berkenaan lebih dua tahun lalu, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Dr Subramaniam berkata Malaysia sudah melakukan segala perkara yang dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan dan kini menanti ketibaan kumpulan pertama pembantu rumah dari Indonesia.

"Di pihak Indonesia pula, sudah tentulah ejen mereka juga berusaha sedaya upaya mereka. Jadi saya harap segala-galanya akan berjalan dengan baik," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Dr Subramaniam berkata usaha itu termasuk pertemuan pemimpin tertinggi kedua-dua negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono untuk mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu itu pada hujung tahun lalu.

Indonesia secara rasmi menarik balik moratorium tentang penempatan pembantu rumah dari negara itu ke Malaysia mulai 1 Dis lepas namun ia akan hanya mengirim semula pembantu rumahnya mulai Mac.

Bagaimanapun Dr Subramanian berkata jumlah sebenar kumpulan pertama pembantu rumah yang akan tiba itu bergantung kepada jumlah permohonan menerusi agensi pekerjaan di negara ini.

Pada Selasa, sejumlah 121 agensi pekerjaan di Malaysia dilaporkan bersiap sedia untuk bekerjasama dengan syarikat pelaksana penempatan Tenaga Kerja Indonesia swasta (PPTKIS) dalam urusan penempatan pembantu rumah Indonesia mulai Mac ini.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam meminta belia India menggunakan peluang pameran kerjaya 'My Career Fair 2012' yang diadakan di beberapa lokasi utama negara khusus bagi belia India meningkatkan taraf dan kedudukan mereka.

Pameran anjuran Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India di bawah Jabatan Perdana Menteri itu akan berlangsung di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya pada 11 Feb, Dewan Serbaguna Skudai Johor Baharu (19 Feb), Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (25 Feb) dan Dewan Methodist Tamil Ipoh Perak (4 Mac).

Lebih 2,500 peluang kerjaya disediakan oleh lebih 30 agensi kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan syarikat swasta gergasi di negara ini yang mengambil bahagian dalam pameran itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan