Silap Terjemahan, Ejaan Bahasa Tamil Pada Kain Rentang Thaipusam: Tg Adnan Minta Maaf - Berita Semasa | mStar

Silap Terjemahan, Ejaan Bahasa Tamil Pada Kain Rentang Thaipusam: Tg Adnan Minta Maaf

Diterbitkan: Isnin, 6 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Anggota Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Isnin memohon maaf kepada kaum India, atas kesalahan terjemahan dan ejaan bahasa Tamil pada kain rentang "Selamat Menyambut Thaipusam" yang digantung di beberapa lokasi di sini.

Beliau yang kesal dengan perkara itu, berkata pihaknya menggantung kain rentang tersebut dengan niat baik iaitu sebagai menghormati penganut agama Hindu yang menyambut perayaan Thaipusam.

"Niat saya adalah baik mahukan tulisan Tamil turut serta pada kain rentang itu. Jadi kita minta pekerja BN (Barisan Nasional) dan anggota MIC untuk membantu menterjemahkan dan menulis dalam bahasa Tamil.

"Nampaknya mereka tidak mahir dalam bahasa Tamil. Saya minta maaf atas perkara tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Aman Kampus Kembara Mahasiwa Bersama Masyarakat di sini.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN berjanji akan memastikan kesilapan serupa tidak berulang dan akan mengambil pakar bahasa untuk melakukan terjemahan pada masa akan datang.

Beliau turut mengakui kain rentang itu disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa. Kain rentang itu ditarik balik sehari selepas digantung apabila mendapat reaksi negatif daripada masyarakat keturunan India di sini. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan